Selasa, 5 March 2019 | 3:58pm
Shahimahton (tengah) hadir pada program Hari Eksport Terengganu anjuran MATRADE Wilayah Timur di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Padang Hiliran, hari ini. - NSTP/Ghazali Kori

Eksport negara dijangka berkembang lima peratus

KUALA TERENGGANU: Eksport negara dijangka berkembang sebanyak lima peratus tahun ini daripada RM998 bilion yang dicatatkan pada 2018, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Shahimahton Mat Saleh.

Beliau berkata jangkaan peningkatan itu didorong perkembangan baik beberapa bidang contohnya industri halal, gaya hidup dan perniagaan dan perkhidmatan maya, selain disokong eksport utama sedia ada, antaranya minyak dan gas; makanan dan minuman serta elektronik,

"Pada 2018, nilai eksport negara meningkat 6.7 peratus kepada RM998 bilion dan untuk tahun ini kita unjurkan peningkatan sebanyak lima peratus daripada angka berkenaan.

"Antara eksport kita yang besar adalah makanan dan minuman, gaya hidup serta industri halal yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan sangat besar bukan sahaja di negara Islam, malah negara bukan Islam kerana ia melambangkan nilai produk berkualiti dan bersih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Hari Eksport Terengganu anjuran MATRADE Wilayah Timur di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shahimahton berkata, bagi menyelaraskan aktiviti eksport Malaysia ke luar negara, satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JKX) diwujudkan.

“Dengan jawatankuasa ini, kita akan dapat mengkoordinasikan aktiviti eksport negara supaya lebih tersusun dan strategik.

“Sebelum ini kita mempunyai beberapa agensi yang menguruskan eskport antaranya Lembaga Kayu Malaysia (MTC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Berita Harian X