Selasa, 5 March 2019 | 4:05pm
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus. - Arkib NSTP

BNM kekal OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, ketika ini momentum pertumbuhan global menunjukkan isyarat sederhana di tengah-tengah kelembapan ekonomi di kebanyakan negara maju dan pasaran baharu muncul.

“Bergerak ke hadapan, sentimen ketegangan perdagangan yang masih belum selesai kekal menjadi risiko utama pasara, sekali gus memberi kesan kepada aktiviti perdagangan dan pelaburan global.

“Keadaan kewangan global yang lebih ketat dan ketidakpastian terhadap polisi dan dasar boleh menjurus kepada pembetulan pasaran kewangan, malah memberi tekanan kepada keseluruhan prospek,” katanya.

BNM berkata, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar sederhana sebanyak 4.7 peratus pada 2018.

“Melangkah ke hadapan, pertumbuhan dijangka terus mampan pada 2019 dengan sokongan berterusan daripada perbelanjaan sektor swasta.

“Persekitaran pasaran buruh yang stabil dan pengembangan kapasiti dalam sektor utama akan terus memacu perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Sementara itu, sokongan daripada sektor luaran pula dijangka perlahan seiiring dengan momentum pertumbuhan global yang sederhana.

“Namun, prospek bagi ekonomi Malaysia kekal berada di landasan pertumbuhan yang mantap.

“Bagaimanapun, sentimen risiko penyusutan daripada ketegangan perdagangan yang tidak dapat diselesaikan, ketidakpastian dalam persekitaran global dan domestik yang semakin memuncak dan kelemahan yang lemah dalam sektor berkaitan komoditi akan terus mencetuskan kebimbangan,” kata BNM.

Berita Harian X