Rabu, 6 March 2019 | 8:09pm
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz.

FIM 2019 sasar pelaburan RM500 juta

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan pelaburan francais RM500 juta bersempena penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa 2019 (FIM 2019) pada 5 hingga 7 April ini.  

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, berkata jumlah itu dilihat mampu dicapai berdasarkan pencapaian pelaburan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM410 juta dan situasi bagi pasaran serantau.  

"Untuk 2019, acara pameran dan persidangan ini bakal disertai daripada lebih 100 syarikat francais tempatan dan antarabangsa dari 12 buah negara seperti Amerika Syarikat (AS) , Itali, Australia dan United Kingdom (UK)," katanya pada sidang media selepas taklimat pempamer FIM 2019 di sini, hari ini.

Antara jenama francais tempatan yang sudah mengesahkan penyertaan dalam acara pameran itu adalah Marry Brown, Tealive, Laundry Bar dan Genius Aulad manakala jenama antarabangsa  seperti Old Town White Coffeee dan Gloria Jean's Coffee.  

Muez berkata, penganjuran FIM 2019 bertujuan bagi menghimpunkan usahawan francais tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan dan institusi kewangan di bawah satu bumbung bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan serta peluang perniagaan francais yang merangkumi pelbagai sektor.  

Menurutnya, acara itu disokong sepenuhnya dan diiktiraf oleh badan francais antarabangsa iaitu Majlis Francais Dunia (WFC), Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).    

"Kami menjangkakan acara pameran tiga hari ini mampu menarik lebih 12,000 pengunjung termasuk pengunjung antarabangsa," katanya.  

Untuk sesi persidangan, lima penceramah tempatan akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang francais termasuk Bryan Loo melalui jenama Tealive dan Deric Yeo dari The Manhattan Fish Market.  

Dalam masa sama, acara itu bakal membawa pelabur dari 21 negara seperti Arab Saudi, China, Taiwan, AS dan UK melalui aktiviti misi padanan perniagaan francais bagi membantu jenama tempatan untuk berkembang di peringkat antarabangsa.  

FIM 2019 adalah acara anjuran KPDNHEP dan MFA akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sementara itu, Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan berkata persatuan itu menyasarkan sebanyak 80 syarikat francais tempatan akan menempatkan jenama mereka ke pasaran luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kami mengenalpasti dua kategori syarikat francais (setempat dan berdaya maju) yang berpotensi mengembangkan perniagaan ke pasaran rantau ASEAN serta negara-negara maju seperti Eropah dan Jepun,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 66 syarikat tempatan sudah menempatkan jenama francais mereka ke 65 buah negara.

Berita Harian X