Rabu, 6 March 2019 | 9:20pm
Kennedy (lima dari kanan) dan Mohd Naroden (empat dari kanan) bergambar di hadapan Pavilion Malaysia pada Foodex Japan 2019 di Makuhari Messe Chiba, Tokyo. - Ihsan Shah Nizam Ahmad

Permintaan tinggi terhadap produk agro Malaysia di Jepun

TOKYO: Produk makanan dan minuman Malaysia berpotensi meraih jualan lebih RM80 juta pada ekspo Foodex Japan 2019 yang berlangsung selama empat hari berakhir Jumaat ini di Makuhari Messe Chiba, dekat sini.

Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Tokyo, Shah Nizam Ahmad, berkata potensi itu adalah berdasarkan permintaan dan sambutan memberangsangkan terhadap produk agro tanah air pada ekspo sebelum ini.

Justeru, beliau berkata, MATRADE meneruskan penyertaan untuk kali ke-17 dalam ekspo itu yang dianggap pameran perdagangan bagi sektor makanan dan minuman terbesar di Asia Pasifik.

“Penyertaan kita pada kali ini adalah yang terbesar berbanding tahun sebelumnya dengan pembabitan sebanyak 41 syarikat.

“Pembabitan berterusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan komitmen tinggi Malaysia terhadap pasaran Jepun dan kepercayaan pada kemampuan syarikat tempatan,” katanya.


Kennedy dan delegasi turut meninjau gerai syarikat Malaysia yang menyertai Foodex Japan 2019 di Makuhari Messe Chiba, dekat Tokyo. - Ihsan Shah Nizam Ahmad

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pavilion Malaysia pada Foodex Japan 2019 yang disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan.

Yang turut hadir, Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Menteri Muda E-Dagang Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais.

Mereka juga mengadakan lawatan ke tapak jualan membabitkan 41 syarikat Malaysia yang kebanyakannya daripada industri makanan dan minuman, serta empat agensi kerajaan dan persatuan perniagaan yang mengambil bahagian pada expo itu.

Sebanyak 90 negara menyertai Foodex Japan 2019 yang dijangka menarik lebih 85,000 pengunjung dalam kalangan pemain industri makanan dan minuman.

Mengulas lanjut, Shah Nizam berkata, penyertaan syarikat Malaysia pada Foodex 2019 adalah antara platform pemasaran utama bagi membuka ruang dan peluang perniagaan serta meneroka pasaran di Asia Timur, khususnya Jepun.

“Malaysia mengeksport makanan siap diproses bernilai RM4.4 bilion ke negara Asia Timur pada tahun lalu.

“Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses yang kedua terbesar Malaysia bernilai RM946 juta selepas China (RM1.87 bilion), diikuti Hong Kong (RM648 juta), Korea (RM543 juta) dan Taiwan (RM361 juta),” katanya.


Mohd Naroden (tiga dari kanan) dan Kennedy (empat dari kanan) bersama wakil syarikat Malaysia yang menyertai Foodex Japan 2019. - Ihsan Shah Nizam Ahmad

MATRADE turut mengatur sesi jaringan perniagaan bersama 20 pengimport Jepun dan lebih 200 pertemuan perniagaan antara syarikat Malaysia dengan syarikat tempatan sepanjang pameran berlangsung.

Sementara itu, Kennedy berkata, permintaan produk makanan dan minuman, termasuk yang halal, mendapat perhatian komuniti perniagaan di Jepun kini sejajar peningkatan jumlah pelancong serta penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik yang bakal diadakan di Tokyo pada tahun depan.

Beliau berkata, Jepun menyasarkan lebih 40 juta pelancong luar akan mengunjungi negara ini sempena temasya sukan terbabit dan menyediakan pelbagai kemudahan bagi tujuan berkenaan.

Justeru, katanya, pembabitan syarikat Malaysia pada Foodex Japan 2019 adalah amat strategik dan tepat pada masanya, termasuk untuk memperkenalkan produk makanan halal secara terus kepada pengimport serta pembeli di negara ini.

“Syarikat Malaysia perlu mengambil peluang ini dengan memastikan produk mereka memenuhi keperluan piawaian ditetapkan bagi menembusi pasaran Jepun yang memang terkenal dengan standard piawaian tinggi.

“Kejayaan produk dalam pasaran Jepun akan pasti memudahkan peluasan pemasaran ke negara lain pula,” katanya.

Berita Harian X