Jumaat, 8 March 2019 | 11:29am
- Foto Hiasan

Pengumuman AETS beri impak positif harga getah

KUALA LUMPUR: Pengumuman pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) ke-6 mula menampakkan kesan positif dengan paras harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) FOB meningkat sebanyak 12.7 peratus kepada RM5.87 sekilogram semalam, daripada RM5.21 sekilogram pada 31 Disember 2018.

Ini walaupun pada hakikatnya Malaysia akan hanya melaksanakan AETS bermula 1 Apri hingga 31 Julai 2019, dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 tan metrik, iaitu pengurangan sebanyak 15,600 metrik tan, kata Kementerian Industri Utama (MPI) dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelaksanaan AETS telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang diadakan pada 4 hingga 5 Mac lalu, di Bangkok, yang dihadiri pegawai kanan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Mesyuarat ini adalah susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC sewaktu Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Februari juga diadakan di Bangkok.

“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS selama empat bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan metrik,” kata kementerian itu.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Pengawasan AETS telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC.

Program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Skim Penggalakan Permintaan dan Skim Pengurusan Penawaran akan diteruskan dan ditambah baik bagi meningkatkan penggunaan domestik getah asli dan mengimbangi permintaan dan penawaran getah asli dunia.

Antara program yang dijangka memberikan impak kepada peningkatan penggunaan getah asli ialah Jalan Berturap Getah.

“Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin bahawa kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga getah asli untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini,” kata kementerian itu.

-BERNAMA

Berita Harian X