Selasa, 12 March 2019 | 6:18pm
Mohd Sheriff (kanan) pada Forum Prospek Strategi Kewangan Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Teliti semula jumlah GLC, GLIC

PETALING JAYA: Jumlah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia perlu diteliti semula bagi memastikannya terus bermanfaat untuk pertumbuhan negara.

Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, berkata terdapat keperluan serius untuk membincangkan mengenai keperluan GLIC dan GLC di negara ini.

"Masalah utama di Malaysia ialah kita memiliki terlalu banyak GLC dan enam GLIC terbesar termasuk Khazanah, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Sudah tiba masanya pembaharuan dijalankan mengenai jumlah GLC dan GLIC sedia ada dan memastikan mereka kekal melaksanakan tadbir urus yang baik selain mementingkan profesionalisme dan prestasi kukuh," katanya ketika mengupas topik 'GLIC dan GLC' pada Forum Prospek Strategi Kewangan Malaysia, di sini, hari ini.

Mohd Sheriff yang juga Pengerusi PLUS berkata, pengurusan GLC dan GLIC tidak memerlukan campur tangan politik.

"Adalah penting untuk memastikan pemisahan politik dan perniagaan dalam menguruskan aset dan kepentingan awam di negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Institut Tadbir Urus Korporat (MICG), David Berry berkata peranan GLC dan GLIC dalam menguruskan aset dan kepentingan awam dapat diteruskan menerusi penerapan ketelusan dan tadbir urus yang lebih baik.

"Malaysia memerlukan satu mekanisme dalam menerapkan ketelusan itu. Wang yang dibelanjakan kerajaan adalah milik kita (orang ramai) dan seharusnya ia digunakan dengan lebih bertanggungjawab demi manfaat kepada rakyat," katanya.

Pada sesi perbincangan lain, Pengerusi PayHalal dan Ketua Pegawai (CEO) Eksekutif Souqa Fintech Sdn Bhd, Datuk Badlisyah Abdul Ghani, berkata kerajaan harus lebih bertanggungjawab menerima saranan daripada sektor swasta.

Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank berkata, cadangan yang disuarakan sektor swasta kepada kerajaan perlu diteliti dalam memastikan pelaksanaannya mampu memberi pulangan baik kepada rakyat dan ekonomi negara.

"Pada masa sama, saranan berkenaan perlu diberi penjelasan sama ada ia diterima atau tidak kerana ia boleh membantu sektor swasta memperbaiki atau menyesuaikannya dengan keperluan kerajaan," katanya ketika mengupas sesi perbincangan bertajuk 'Kriteria bagi Prospek Kewangan Kukuh dan Pelaksanaannya'.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan untuk menyediakan pelaburan dalam teknologi bagi menyediakan satu platform atau medium untuk mendapatkan maklum balas orang ramai.

"Platform berkenaan seharusnya membolehkan laporan dibuat berasaskan prestasi. Ini kerana orang ramai boleh memberi maklum balas bagi setiap pelaksanaan yang dijalankan kerajaan. Ia dapat membantu meningkatkan pelaksanaan lebih kukuh seterusnya membentuk prestasi kewangan lebih baik," katanya.

Berita Harian X