Khamis, 14 March 2019 | 2:15pm
Keluaran sektor pembuatan meningkat 4.2 peratus pada Januari 2019.

IPP meningkat 3.2 peratus pada Januari 2019

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat 3.2 peratus pada Januari 2019 berbanding bulan yang sama pada 2018, disokong oleh peningkatan indeks elektrik dan pengilangan masing-masing sebanyak 7.8 peratus dan 4.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks perlombongan bagaimanapun mencatatkan penurunan 0.9 peratus.

Beliau berkata, keluaran sektor pembuatan meningkat 4.2 peratus pada Januari 2019 selepas mencatat pertumbuhan 4.4 peratus pada Disember 2018.

“Subsektor utama yang merekodkan peningkatan pada Januari 2019, terdiri daripada produk mineral bukan metalik, logam asas dan produk logam yang direka (4.3 peratus), petroleum, kimia, getah dan produk plastik (4.0 peratus) dan produk perkakasan elektrik dan elektronik (3.9 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata, indeks elektrik meningkat 7.8 peratus tahun ke tahun dan gas asli meningkat 0.3 peratus.

Bagaimanapun, katanya indeks perlombongan merosot 0.9 peratus disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah (-2.2 peratus).

-BERNAMA

Berita Harian X