Jumaat, 15 March 2019 | 4:27pm
Pengarah Dasar Antarabangsa, Pusat Dasar Inovasi Global, Kelly Anderson. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad.
Pengarah Dasar Antarabangsa, Pusat Dasar Inovasi Global, Kelly Anderson. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Malaysia ke-24 dunia Indeks Harta Intelek Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tempat ke-24 daripada 50 buah negara dalam Indeks Harta Intelek (IP) Antarabangsa, disumbangkan oleh peningkatan dalam rangka kerja IP Malaysia sepanjang tahun lalu.

Dalam penilaian yang dibuat dalam indeks yang kini memasuki edisi ketujuh, markah keseluruhan Malaysia mencatat peningkatan kepada 49.70 berbanding 48.60 pada edisi keenam sebelum ini, namun kedudukannya jatuh satu anak tangga berbanding sebelumnya.

Pengarah Dasar Antarabangsa, Pusat Dasar Inovasi Global, Kelly Anderson, berkata kenaikan markah indeks itu antaranya disumbangkan penguatkuasaan terhadap pencuri IP, terutama membabitkan barang yang memasuki negara ini di sempadan sebelum ditransitkan ke negara lain.

Katanya, ini adalah masalah sebenar yang dilihat pihaknya dan banyak negara tidak melindungi perkara seumpama ini daripada berlaku.

“Sejak beberapa tahun lalu Malaysia telah mengadakan perubahan dalam menangani isu ini dan tambahan daripada itu, satu lagi bidang yang menaikkan markah Malaysia di dalam indeks ini ialah mengenai kesedaran terhadap IP dan koordinasi dalam hak IP dan penguatkuasaan.

“Selain itu, terdapat juga banyak contoh baik yang telah dilaksanakan oleh Malaysia dan boleh diikuti oleh negara lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran indeks berkenaan di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Zulkarnain Muhammad.

Laporan indeks itu mengukur 45 petunjuk yang kritikal terhadap pertumbuhan sistem IP yang berkesan.

Petunjuk itu merangkumi lapan kategori perlindungan IP iaitu paten, hak cipta, cap dagang, rahsia dagangan, pengkomersilan aset IP, penguatkuasaan, keberkesanan sistemik dan keahlian serta ratifikasi perjanjian antarabangsa.

Sementara itu, Zulkarnain berkata kedudukan Malaysia dijangka akan bertambah lebih baik pada tahun ini sekiranya berjaya menyertai Protokol Madrid.

Katanya, ketika ini banyak negara sudah menyertai protokol berkenaan termasuk kebanyakan negara jiran dan berharap Malaysia akan dapat menyertainya pada tahun ini.

“Antara kelebihan protokol ini ialah, syarikat tempatan hanya perlu memfailkan IP mereka di Malaysia dan kemudian akan diiktiraf di 112 negara lain. Ia berbeza ketika ini yang mana syarikat perlu memfailkan IP mereka secara berasingan di setiap negara lain.

“Kita sedang berusaha keras untuk merealisasikan perkara ini dan berharap dapat meminda beberapa akta berkaitan pada tahun ini juga,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X