Selasa, 19 March 2019 | 6:22pm
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri. - Foto digitalnewsasia.com

MSC versi 2.0 akan dilancar tahun ini

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang merangka Koridor Raya Multimedia (MSC) versi 2.0 dan dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, berkata MSC sedia ada sudah berusia lebih 23 tahun iaitu sejak 1996 ketika mula dilancarkan dan ia kini memerlukan nafas baharu bagi membolehkannya untuk terus berdaya saing.

“Antara agenda utama di dalam MSC 2.0 ini ialah untuk menarik bakat dan membangunkannya. Kami menerima banyak maklum balas daripada syarikat yang berminat untuk bertapak di sini.

“Kita mempunyai infrastruktur yang lengkap dan ketika ini sedang mengusahakan langkah untuk membangunkan bakat,” katanya ketika ditemui di luar forum Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Sementara itu, Surina berkata MDEC akan menubuhkan sebuah majlis baharu khusus untuk syarikat pemula niaga atau ‘startup’ bulan depan, bermatlamat membantu mengukuhkan lagi kehadiran syarikat sedemikian di Malaysia.

Beliau berkata, penubuhan majlis ini pernah disuarakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada September tahun lalu.

Katanya, MDEC mahu meyakinkan pihak industri dan ekosistem pada masa kini seperti syarikat pemula niaga untuk menyumbangkan idea mengenai penubuhan majlis terbabit.

“Kami mahu mendapatkan input daripada syarikat terutama mengenai apa yang boleh dilakukan untuk menjadikan syarikat pemula niaga menjadi lebih baik dari sudut undang-undang.

“Ini kerana, kita bercakap mengenai inovasi tetapi ada beberapa undang-undang yang digubal pada tahun 1950 dan 1960 yang perlu diteliti kembali kerana mungkin sudah tidak relevan dengan keperluan masa kini.

“Salah satu contoh ialah dron, sebelum ini teknologi ini tidak wujud, tetapi ia wujud sekarang. Jadi saya pasti pihak yang terbabit dalam industri ini perlu mematuhi undang-undang dan menyesuaikan diri dengannya.

“Namun, ia tidak seharusnya begitu dan kita perlu memikirkan sesuatu supaya ia tidak merencatkan inovasi dan inilah tujuan sebenar majlis ini, iaitu meliberasisasikan undang-undang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut Surina berkata, majlis itu akan disertai pelbagai pihak daripada latar belakang berbeza termasuk MDEC, peserta industri, syarikat pemula niaga dan pelabur.

“Lebih banyak maklumat akan dikongsikan mengenai majlis ini dalam satu sesi pertukaran idea yang akan diadakan pada bulan depan,” katanya.

Berita Harian X