Selasa, 19 March 2019 | 6:29pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad ketika sesi soal jawab pada majlis 'Invest Malaysia 2019' hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad ketika sesi soal jawab pada majlis 'Invest Malaysia 2019' hari ini. - Foto BERNAMA

KWSP perlu ubah strategi perniagaan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyedari bahawa strategi perniagaannya perlu berubah bagi memastikannya kekal relevan terhadap perubahan landskap demografi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias, berkata dana persaraan pekerja swasta itu mengenalpasti terdapat perubahan dinamik demografi apabila berlaku peningkatan golongan individu yang bekerja sendiri dan meningkatnya golongan berusia.

“Cara KWSP meraih dana semakin ketinggalan zaman. Data kami menunjukkan kira-kira lima tahun lalu sebanyak 48 peratus pekerja mencarum dengan KWSP, namun jumlah itu berkurangan sehingga 40 peratus. Ia adalah penurunan drastik dalam tempoh hanya lima tahun,” katanya pada persidangan Invest Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, tekanan Revolusi Industri 4.0 turut menyebabkan ramai anak muda mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dan tidak berminat untuk menabung dalam dana persaraan itu.

“Lebih membimbangkan apabila lebih 15 juta tenaga kerja di negara ini akan mencapai usia persaraan tidak lama lagi, malah Malaysia juga dijangka mencapai status negara tua pada 2030.

“Menjelang tempoh itu, terdapat kemungkinan pencarum ini mengeluarkan simpanan mereka pada jumlah yang besar. Ini bermakna KWSP bakal berdepan situasi di mana kita tidak mempunyai tunai untuk menyokong aktiviti pengeluaran berkenaan.

“Tidak mustahil, satu hari nanti KWSP juga tidak akan wujud lagi,” katanya.

KWSP adalah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya menerusi pengurusan simpanan secara cekap dan dipercayai.

Di sebalik cabaran yang perlu dilaluinya, KWSP terus kekal dengan mandatnya untuk terus meningkatkan hasil kumpulan dengan mengembangkan sayap pelaburannya ke luar negara.

Dana persaraan itu kini memiliki aset pelaburan bernilai RM833.76 bilion, dengan 26.7 peratus atau RM222.61 bilion dilaburkan di luar negara.

Ketika ini, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kekal menjadi destinasi pelaburan utama dengan masing-masing mencatatkan RM33.35 bilion dan RM25 bilion.

Tunku Alizakri berkata, dana KWSP terus berkembang dengan nilai aset di bawah pengurusannya bakal mencecah RM1 trilion dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Oleh sebab itu, kita perlu tembusi pasaran luar Malaysia dan agresif mencari rakan kongsi dengan pelabur antarabangsa untuk memasuki pasaran ASEAN yang semakin berkembang pesat,” katanya.

Berita Harian X