Rabu, 20 March 2019 | 2:57pm
TOH Yew Peng ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Prestar Resources Bhd di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
TOH Yew Peng ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Prestar Resources Bhd di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Perbanyakkan projek infrastruktur mega untuk bantu kelangsungan industri tempatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan serta memperbanyakkan lagi projek infrastruktur mega bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan industri pembuatan tempatan.

Industri pembuatan tempatan terutamanya yang berkaitan dengan produk keluli dan peralatan terjejas dengan beberapa langkah kerajaan tidak meneruskan projek mega seperti yang dirancang oleh kerajaan terdahulu.

Pengarah Urusan Kumpulan Prestar Resources Bhd (Prestar), Datuk Toh Yew Peng, berkata industri pembuatan juga turut terjejas dengan perang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, sukar bagi pemain industri untuk meneruskan pertumbuhan mereka atas beberapa faktor itu dan berharap kerajaan dapat meneruskan projek mega yang telah diumumkan.

“Sebagai pengeluar produk keluli dan peralatan, kami mengalami tekanan dalaman dan luaran. Harga keluli juga terjejas dengan perang perdagangan China dan AS manakala dari sudut dalaman, perubahan kerajaan serta pertukaran dasar baharu kerajaan turut memainkan peranan dalam industri pembuatan.

“Kerajaan perlu meneruskan projek mega yang sudah dirancang bagi memastikan industri pembuatan tempatan dapat terus bertahan. Sebagai antara pengeluar utama produk keluli dan peralatan, kami sentiasa mengharapkan kerajaan dapat meneruskan dan memperbanyakkan lagi projek infrastruktur mega.

“Ketika ini 80 peratus perniagaan kumpulan adalah untuk pasaran eksport manakala 20 peratus untuk pasaran tempatan. Kami mengharapkan perniagaan kami dapat diseimbangkan antara eksport dan pasaran tempatan, tetapi ia bergantung kepada projek yang dikeluarkan.

“Tetapi kumpulan masih optimis dan menjangkakan prestasi kumpulan akan kembali meningkat tahun ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Prestar di sini hari ini.

Yew Peng berkata, langkah kerajaan mengenakan cukai anti-lambakan ke atas import keluli dari beberapa negara termasuk China turut membantu menstabilkan harga keluli dan menyokong industri pembuatan tempatan.

Sementara itu, Prestar menerima kelulusan pemegang saham untuk menyenaraikan salah satu anak syarikatnya, Tashin Steel Sdn Bhd (Tashin) ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada tahun ini.

Penyenaraian Tashin melalui syarikat tujuan khas, Tashin Holdings Bhd disasarkan menjana RM38 juta daripada langkah penyenaraian itu.

Yew Peng berkata, cadangan penyenaraian itu akan memberikan penanda aras penilaian telus bagi perniagaan Tashin dan pasa masa yang sama membolehkan Prestar mengurangkan pinjaman sedia adanya.

“Cadangan penyenaraian ini membolehkan Prestar membuka dan menikmati nilai pelaburannya dalam Tashin sejak 1999 dan meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya.

Proses Tawaran Awam Permulaan (IPO) membabitkan penerbitan sebanyak 59.33 juta saham baharu di Tashin Holdings, mewakili 17 peratus saham modal diperbesarkan.

Yew Peng berkata, hasil daripada IPO akan digunakan untuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan perniagaan Tashin ke dalam pengeluaran produk dawai halus dan bagi menambah baik pemprosesann keluli sedia ada.

“Selain itu ia akan digunakan untuk pembelian tanah bagi membina kilang baharu serta menyokong modal kerja Tashin merangkumi pembelian bahan mentah dan bagi menjelaskan perbelanjaan penyenaraian IPO itu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X