Ahad, 24 March 2019 | 8:11pm
Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Hanisofian Alias.

WHC 2019 platform lonjak industri halal global

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yakin Persidangan Halal Dunia (WHC) 2019 mampu menjadikan Malaysia sebagai platform rujukan bagi masyarakat antarabangsa dalam mendepani pelbagai cabaran berkaitan pembangunan industri halal global.

Naib Presidennya, Hanisofian Alias, berkata kerjasama rapat antara sektor ekonomi dunia jelas mampu meningkatkan ekonomi halal secara keseluruhannya serta turut menjadi instrumen sokongan yang mampu membantu usaha kerajaan menarik pelaburan asing (FDI).

“Seterusnya mewujudkan kelestarian ekonomi menerusi integrasi global serta pembangunan usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Malaysia melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif di mana semua pihak berpeluang memanfaatkan nilai halal yang dikongsi bersama melalui integrasi global dalam usaha untuk mengembangkan industri halal serta meningkatkan kecekapan operasi melalui perkongsian amalan tadbir urus etika yang terbaik,” katanya kepada media, baru-baru ini.

WHC 2019 yang akan diadakan buat kali ke-11 pada 3 dan 4 April depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dianjurkan oleh HDC dan dihoskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ia dijangka disertai oleh lebih 1,000 peserta jemputan membabitkan 50 negara terdiri daripada ahli delegasi, pemimpin industri, penyelidik dan pihak lain yang komited terhadap pembangunan pengetahuan halal dan industri halal global.

Bertemakan “Hala Tuju Ekonomi Halal yang Mampan: Integrasi Pengantarabangsaan”, persidangan dua hari itu akan meneroka peluang dan cabaran yang dihadapi industri halal menerusi siri wacana yang bertujuan mengintegrasi kemajuan teknologi, tadbir urus etika dan pasaran pesat membangun.

Sejak dianjurkan buat julung kalinya pada 2007, WHC mampu mengurangkan halangan dan pelbagai isu termasuk teknologi, infrastruktur, logistik, perolehan pengetahuan, latihan dan penjenamaan yang menyumbang kepada agenda pembangunan ekosistem halal negara.

Mengulas mengenai agenda persidangan itu, Hanisofian, berkata antara sesi yang dijangka menjadi tumpuan adalah sesi panel menteri membabitkan menteri dari dua negara iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga, Korea, H.E. Yunmo Sung pada 3 April.

Pada hari kedua persidangan, peserta akan membincangkan mengenai prospek sektor halal di pasaran baharu muncul, membentuk ekosistem halal yang mampan serta sumbangan kewangan sosial Islamik terhadap pertumbuhan ekonomi halal.

Eksport halal diunjur mencecah RM50 bilion pada 2020 menerusi pendekatan ekosistem halal yang mapan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk Industri Halal 2019-2030 (HIMP2.0).

Berita Harian X