Rabu, 27 March 2019 | 1:05pm
Sektor pembuatan China. - Gambar hiasan

Sektor pembuatan China catat kemerosotan terburuk

BEIJING: Sektor pembuatan China mencatatkan kemerosotan terburuk dalam keuntungan sejak akhir 2011 dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut data.

Ia susulan permintaan lembap dari dalam dan luar negara.

Kemerosotan ketara keuntungan mencadangkan masalah lanjut bagi ekonomi kedua terbesar di dunia itu, yang berkembang pada kadar paling perlahan dalam hampir tiga dekad tahun lalu.

Kerajaan sudah menurunkan sasaran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada 6.0-6.5 peratus, daripada kadar sebenar 6.6 peratus pada 2018.

Keuntungan syarikat perindustrian China pada Januari-Februari merosot 14.0 peratus tahun ke tahun kepada 708.01 bilion yuan (AS$105.50 bilion), demikian menurut Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) di laman webnya.

Ia adalah penguncupan terbesar sejak Reuters mula menyimpan rekod pada Oktober 2011.

Data itu menggabungkan angka-angka bagi Januari dan Februari untuk melancarkan penyimpangan yang disebabkan oleh Tahun Baru Cina.

Penurunan itu disebabkan terutamanya oleh penguncupan harga dalam sektor perindustrian utama seperti automotif, pemprosesan minyak, industri keluli dan kimia, kata Zhu Hong dari biro statistik itu dalam satu kenyataan yang mengiringi data itu, sambil menambah pengeluaran dan jualan juga perlahan.

Keuntungan dalam sektor automotif turun 37.1 bilion yuan berbanding tahun sebelumnya, manakala industri pemprosesan minyak turun 31.7 bilion yuan, menurut data rasmi.

Zhu berkata, cuti Tahun Baru Cina yang jatuh pada awal Februari juga memberi impak lebih besar ke atas operasi perniagaan tahun ini berbanding tahun 2018.

Perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) menyulitkan aktiviti perkilangan, pendapatan korporat, sentimen perniagaan dan penggunaan secara keseluruhan.

Pertumbuhan pengeluaran pembuatan China merosot ke paras terendah dalam tempoh 17 tahun pada Januari-Februari.

"Walaupun kemungkinan AS dan China boleh mencapai kesepakatan perdagangan dalam masa terdekat, namun masih ada persoalan yang akan membantu menyongsang penurunan dalam eksport China," kata Betty Wang, pakar ekonomi kanan China di ANZ, sambil menambah bahawa permintaan global yang semakin merosot masih menjadi perhatian. - Reuters

Berita Harian X