Rabu, 27 March 2019 | 5:04pm

Isu mampu milik, jumlah hartanah tidak terjual dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah unit rumah yang tidak terjual dijangka meningkat dalam jangka pendek berikutan pasaran hartanah tempatan yang terus lemah dengan isu mampu milik yang berterusan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018, berkata, walau begitu pelarasan harga rumah dijangka berlaku dengan teratur memandangkan permintaannya yang terus kukuh terhadap rumah mampu milik dan rumah yang dibeli untuk dihuni; pemberian pinjaman berterusan oleh bank; dan dasar kerajaan yang bertujuan melaraskan antara permintaan dan penawaran perumahan lebih baik.

Bank pusat itu berkata, rumah berharga lebih RM250,000 terus membentuk sebahagian besar pelancaran baharu dan jumlah rumah yang tidak terjual, seterusnya meningkatkan ketidak padanan antara bekalan dengan permintaan perumahan di sesetengah lokasi.

“Walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk menangani ketidakpadanan struktur ini, usaha penyelarasan bersama dengan sektor swasta adalah penting untuk mendorong peralihan yang lancar ke arah pasaran perumahan lebih mampan, selain mengurangkan secara beransur-ansur paras harta tanah yang tidak terjual.

“Memandangkan permintaan terhadap rumah mampu milik yang kukuh dan masih melebihi bekalan baharu dalam masa terdekat, ditambah pula dengan langkah untuk meningkatkan kemampuan pembiayaan, prospek pasaran perumahan dijangka akan bertambah baik secara beransur-ansur, berserta dengan penjajaran lebih baik antara keadaan permintaan dengan bekalan,” katanya.

BNM berkata, berdasarkan data Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM), harga rumah terus meningkat dengan lebih sederhana pada separuh pertama 2018 pada empat peratus dengan data awalan bagi suku ketiga 2018 menunjukkan penurunan selanjutnya kepada 1.1 peratus.

“Pertumbuhan harga rumah yang perlahan mencerminkan permintaan semakin lemah terhadap harta tanah dalam segmen berharga lebih tinggi yang masih di luar kemampuan kebanyakan pembeli, selain aktiviti lembap dalam pasaran perumahan sepanjang enam tahun lalu.

“Keadaan ini menyumbang kepada pelarasan bekalan perumahan ke arah segmen lebih mampu

milik sepanjang dua tahun lalu dengan lebih banyak pelancaran perumahan baharu yang menyasarkan harta tanah berharga di bawah RM500,000,” katanya.

Meskipun pelancaran perumahan baharu berkurang dalam tempoh sembilan bulan pertama, BNM berkata, aktiviti dalam segmen berkenaan yang aktif di beberapa negeri utama (Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang) menyokong pertumbuhan kecil dalam jumlah jual beli rumah.

“Bagaimanapun, rumah pada paras harga ini masih tidak mampu dimiliki di negeri lain. Hal

ini menyebabkan stok unit perumahan yang tidak terjual meningkat 22.5 peratus dalam tempoh sembilan bulan sehingga September 2018,” katanya.

Dalam pada itu, risiko kredit dijangka tinggi dalam segmen ruang pejabat serta kompleks beli-belah berikutan terdapat bekalan baharu yang banyak dan bekalan yang kekal tinggi akan meningkatkan risiko pada masa hadapan.

BNM berkata, segmen komersial (ruang pejabat dan kompleks beli-belah) mencatatkan jumlah dan nilai urus niaga lebih tinggi, terutama harta tanah bernilai lebih RM500,000.

“Meskipun terdapat peningkatan dalam aktiviti pasaran dalam segmen berkenaan, peningkatan bekalan baharu bagi ruang pejabat terutama di Lembah Klang serta peningkatan ruang runcit di seluruh negara akan memburukkan lagi keadaan dengan lebihan bekalan sedia ada.

“Masih terdapat risiko ruang komersial tambahan ini tidak akan diserap, berikutan kemerosotan kadar kekosongan. Risiko harga harta tanah menurun dengan ketara juga tetap tinggi memandangkan kadar sewa purata baru ruang pejabat di Lembah Klang terus ditekan,” katanya.

Berita Harian X