Khamis, 28 March 2019 | 9:59pm
Umar (kanan) melancarkan Persatuan Penasihat Kewangan Korporat di Kuala Lumpur. - NSTP/Rosdan Wahid

Bursa Malaysia saksikan lebih banyak IPO tahun ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menyaksikan tawaran awam permulaan (IPO) yang lebih banyak dan bernilai tinggi tahun ini.

"IPO yang bakal dilancarkan untuk tahun ini adalah jauh lebih baik dari segi bilangan dan saiz berbanding tahun lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift.

Katanya, terdapat 22 IPO tahun lalu berbanding 14 penyenaraian pada tahun 2017. Namun, dari segi jumlah yang dijana menerusi IPO, ia adalah lebih rendah pada RM633.12 juta berbanding RM7.38 bilion pada tahun 2017.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan syarikat adalah kategori penyenaraian Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP), dengan 12 di bawah RM10 juta.

Pasaran LEAP Bursa Malaysia adalah di mana pelabur kaya boleh meminjamkan wang melalui pasaran modal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Tahun ini, kita telah menyaksikan lima penyenaraian; dua di pasaran ACE dan tiga di LEAP. Terdapat 13 lagi IPO yang telah diluluskan dan dalam proses untuk disenaraikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Persatuan Penasihat Kewangan Korporat, yang mempunyai 24 anggota terdiri daripada syarikat aktif di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Selvarany Rasiah; Pengarah Urusan Kewangan Korporat dan Pelaburan Suruhanjaya Sekutiti (SC), Eugene Wong dan Pengarah Eksekutif SC, Ong Liang Heng.

Umar berkata, untuk tahun ini terdapat dua IPO besar berpotensi untuk penyenaraian.

Beliau berkata, satu daripadanya ialah penyenaraian semula QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemilik rangkaian restoran Kentucky Fried Chicken dan Pizza Hut di Malaysia, manakala satu lagi ialah penyenaraian semula Leong Hup International Bhd, pengeluar makanan ternakan yang juga terbabit dalam pengeluaran telur dan penternakan ayam.

Berita Harian X