Jumaat, 29 March 2019 | 9:03am

MIEA perlu tumpu usaha perangi broker haram - Speedrent

KUALA LUMPUR: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) perlu menumpukan usaha membanteras broker haram bukannya mengganggu syarikat teknologi hartanah, kata platform sewaan dalam talian sehenti, Speedrent Technology Sdn Bhd.

Speedrent adalah platform automatik secara percuma yang menghubungkan pemilik hartanah dengan penyewa secara langsung dan juga menyediakan insurans dan perlindungan sewa.

Pengasasnya, Wong Whei Meng, berkata masalah broker haram jauh lebih besar berbanding syarikat pemula niaga yang ingin meningkatkan pengalaman pengguna dalam industri berbeza.

“Berdasarkan kebangkitan era digital, broker hartanah perlu seiring situasi semasa dan meningkatkan kadar penembusan digital bagi hartanah.

“MIEA mempunyai banyak kaedah penting yang boleh digunakan untuk memerangi pembrokeran haram, tetapi nampaknya mereka lebih menumpukan tindakan menindas syarikat pemula niaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini dilaporkan MIEA telah membuat beberapa laporan polis berhubung beberapa syarikat pemula niaga teknologi hartanah yang menjalankan amalan hartanah secara haram.

Wong menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang agensi industri itu memandangkan ia tidak dipinda selama 20 tahun.

“Peraturan kerajaan berhubung pembangunan perniagaan dalam talian akan memastikan semua pihak mempunyai persaingan dan peluang yang adil," katanya.

Pada masa ini, aktiviti ejen hartanah dikawal selia mengikut Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981. - BERNAMA

Berita Harian X