Ahad, 31 March 2019 | 3:44pm

Kini masa untuk syarikat penerbangan beroperasi menjangkaui perkongsian kod

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Bhd (MAB) beroperasi menjangkaui perkongsian kod atau pakatan dan mengkaji pakatan serantau untuk bertahan dalam industri yang berdaya saing dan berintensifkan modal itu.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata usaha sama serantau bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah lama berlaku di pentas global.

Di Eropah, konsep syarikat penerbangan nasional atau pembawa bendera negara telah ditakrifkan semula, katanya.

Salah satu penggabungan yang paling menonjol ialah antara syarikat penerbangan British Airways dan Iberia Sepanyol pada 2011 dengan kedua-duanya mengekalkan jenama asal mereka. Pada 2004, KLM Royal Dutch Airlines yang berpangkalan di Air France dan Belanda menjadi Air France-KLM

"Industri penerbangan bukan sahaja adalah perniagaan yang sukar untuk penduduk tempatan malah dalam kalangan penggiat global," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Perbincangan mengenai MAB muncul semula sejak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan telah menerima minat daripada firma tempatan dan asing untuk membeli syarikat penerbangan negara itu.

Ini berikutan penurunan kerugian nilai secara besar-besaran yang dialami oleh pemegang saham tunggal MAB, Khazanah Nasional Bhd, yang menyebabkan dana kekayaan berdaulat Malaysia itu melaporkan kerugian sebelum cukai tahun lalu - pertama sejak 2005.

Menurut Pusat Penerbangan itu, enam daripada tujuh syarikat penerangan di Malaysia tidak menguntungkan, manakala syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, menjana keuntungan operasi paling kecil dalam tempoh empat tahun.

AirAsia Group Bhd, MAB dan Malindo Airways Sdn Bhd, usaha sama Malaysia-Indonesia, adalah tiga syarikat penerbangan utama di Malaysia.

Nungsari menyifatkan senario semasa industri ini, antara lain, ketidaksamaan antara pertumbuhan penumpang dan syarikat penerbangan.

"Jumlah penumpang mencatatkan pertumbuhan sejak bertahun-tahun, namun peratusannya agak kecil berbanding pertumbuhan pesawat dan kapasiti pesawat global dalam pasaran," katanya.

Dalam negara, unjuran industri MAVCOM sendiri mendedahkan bahawa pertumbuhan trafik penumpang di Malaysia secara keseluruhannya berkurangan kepada 3.0 peratus pada 2018 daripada 10 peratus pada 2017.

Unjuran itu sebahagiannya disebabkan oleh pengurangan besar dalam kapasiti tempat duduk domestik dari suku kedua 2018 dan seterusnya.

Oleh itu, suruhanjaya berkenaan mengunjurkan pertumbuhan trafik penumpang bagi tahun semasa berada antara 2.2 peratus dan 3.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

Nungsari berkata, struktur pasaran untuk industri penerbangan adalah sukar dan boleh disamakan dengan industri automotif, katanya, sambil menambah terdapat lebih banyak syarikat kereta 30 tahun lalu berbanding sekarang.

"Begitu juga dengan syarikat penerbangan global. Sektor automotif telah mengalami penyatuan yang serupa dengan industri penerbangan. Pusingan pertama dan kedua penggabungan telah berlaku di Amerika Syarikat," katanya.

Walaupun penggabungan dan pengambilalihan dalam industri automotif lancar, industri penerbangan kebanyakannya menjadikan perkongsian kod dan pakatan, iaitu OneWorld, SkyTeam dan Star Alliance sebagai sebahagian daripada proses rasionalisasi mereka.

Mungkin sudah tiba masanya syarikat penerbangan melihat pakatan serantau, selain penggabungan dan pengambilalihan, kata Nungsari.

Sebagai pengawal selia, MAVCOM tidak boleh membuat keputusan untuk syarikat-syarikat penerbangan dalam tindakan korporat mereka, namun secara umum, syarikat penerbangan tidak mempunyai pilihan melainkan melihat fasa seterusnya untuk terus bertahan dalam industri yang berkembang pesat dan mencabar ini, katanya.

"(Syarikat seperti MAB perlu mengkajinya) berikutan hasil yang berkurangan dengan angkanya merosot sejak bertahun-tahun, menjadikan Malaysia tidak menarik kepada syarikat penerbangan untuk terbang ke sini. Usaha menjadkan Malaysia sebagai hab juga sukar dicapai,)" katanya.

Memetik syarikat penerbangan antarabangsa, Nungsari berkata, Pan American World Airways (Pan Am) dan Trans World Airline (TWA) adalah contoh terbaik dalam senario ini.

Pan Am Amerika Syarikat mempunyai tahun-tahun gemilang sekitar 1970-an, namun difailkan untuk muflis pada 1991 disebabkan oleh lebihan kapasiti, permintaan penumpang yang rendah dan isu kos bahan bakar yang semakin meningkat.

TWA juga gagal menangani isu alam sekitar semasa pembatalan peperaturan kawal selia syarikat penerbangan itu pada tahun 1980-an, dan kekurangan tumpuan terhadap pasaran kargo trans-Pasifik dan udara, yang membawa kepada masalah kewangan syarikat penerbangan itu.

Kos bahan bakar jet yang lebih tinggi juga adalah faktor terbesar yang mengancam keuntungan syarikat penerbangan Malaysia, dan ini mungkin berterusan sehingga 2019 apabila harga minyak jet global dijangka terus meningkat,

Oleh itu, bekerjasama dengan syarikat penerbangan dengan kehadiran atau rangkaian yang lebih besar adalah jawapannya, katanya.

"Semua syarikat penerbangan adalah penggiat serantau. Jadi, jika kerjasama atau usaha sama berlaku, saya rasa kita harus melihat laluan, dan syarikat yang mempunyai kehadiran yang lebih besar.

"Mungkin beberapa syarikat dari Amerika Utara, Afrika atau mungkin syarikat China, dengan kebanyakan pelancong kita datang dari China," katanya.

Memandangkan isu utama dalam industri penerbangan ialah bagaimana mengoptimumkan bilangan pesawat yang semakin meningkat, beliau berkata menerusi perkongsian, anda boleh menggunakan aset anda dan pada masa yang sama mengembangkan kehadiran anda di seluruh dunia." - BERNAMA

Berita Harian X