Isnin, 1 April 2019 | 1:48pm
KETUA Pakar Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson.

PMI pembuatan Malaysia susut kepada 47.2 pada Mac

KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia yang juga petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, susut sedikit kepada 47.2 pada Mac lalu berbanding 47.6 pada bulan sebelumnya.

Penyedia perkhidmatan maklumat kewangan, IHS Markit dalam satu kenyataan hari ini berkata, data terkini PMI itu menunjukkan kalangan pengilang Malaysia terus berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar pada akhir suku pertama terbabit.

Ketua Pakar Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson, berkata walaupun beberapa pengukur utama memaparkan penurunan pada Mac, namun berbanding tinjauan rasmi, ia masih secara amnya menunjukkan pertumbuhan ekonomi pada kadar tahunan 4.0 peratus kepada 4.5 peratus.

“Malaysia sepertimana negara lain yang mengalami kepesatan ekonomi, menyaksikan pengukur PMI itu susut di bawah paras 50 yang menunjukkan sama ada sektor pembuatan itu menguncup atau mengalami penurunan dari segi keluaran dalam negara kasar.

“Namun, apa yang menggalakkan, hasil tinjauan itu turut mendapati syarikat-syarikat ternyata lebih optimis bagi perkembangan tahun akan datang dengan jangkaan pertumbuhan output mencecah paras tertinggi bagi tempoh hampir setahun.

“Indeks bagi pembelian dan inventori itu turut melepasi paras rendah baru-baru ini ketika syarikat-syarikat membuat perancangan bagi peningkatan permintaan untuk bulan-bulan akan datang,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X