Rabu, 3 April 2019 | 10:12am

Perang perdagangan, Brexit dijangka perlahankan pertumbuhan 2019, 2020 di Asia - ADB

MANILA: Pertumbuhan negara membangun di Asia dijangka perlahan bagi tahun kedua berturut-turut pada 2019 dan momentum akan bertambah perlahan pada 2020, demikian menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini.

ADB juga memberi amaran terhadap peningkatan risiko ekonomi daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan Brexit.

Negara membangun Asia, terdiri daripada 45 negara di rantau Asia Pasifik, dijangka berkembang 5.7 peratus tahun ini, kata ADB dalam laporan Tinjauan Pembangunan Asia, lebih perlahan daripada jangkaan pengembangan 5.9 peratus pada 2018 dan pertumbuhan 6.2 peratus pada 2017.

Unjuran 2019 itu mewakili penurunan daripada unjuran yang dibuat Disember sebanyak 5.8 peratus.

Bagi 2020, rantau itu dijangka berkembang 5.6 peratus, pertumbuhan paling perlahan sejak 2001.

ADB berkata, ketidakpastian berpunca daripada dasar fiskal AS dan Brexit yang tidak teratur sebagai risiko terhadap tinjauan kerana ia akan melambatkan pertumbuhan ekonomi negara maju dan memalapkan prospek tinjauan ekonomi kedua terbesar di dunia.

Ekonomi China diunjur berkembang 6.3 peratus tahun ini, kata ADB, tidak berubah daripada unjuran Disember, tetapi lebih perlahan dari pengembangan 6.6 peratus pada 2018.

Pertumbuhan di tanah besar China dijangka semakin perlahan kepada 6.1 peratus pada 2020.

China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi pada 2019 antara 6.0 peratus hingga 6.5 peratus.

Unjuran pertumbuhan tahun ini bagi Asia Tenggara dikurangkan kepada 4.9 peratus daripada anggaran terdahulu sebanyak 5.1 peratus, disandarkan kepada jangkaan pertumbuhan yang lebih perlahan di Malaysia, Singapura, Filipina dan Thailand.

Tahun depan, Asia Tenggara dijangka berkembang 5.0 peratus. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X