Khamis, 4 April 2019 | 3:56pm
MOHD Sheriff Mohd Kassim

GLC wajar hadir jawab soalan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) wajar dipanggil ke Dewan Rakyat bagi menjawab soalan daripada jawatankuasa pemilih sebagai langkah memastikan ketelusan pentadbirannya.

Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, berkata langkah itu bukan sesuatu yang baharu kerana di negara maju, seperti Amerika Syarikat (AS), ia sudah dilaksanakan.

Mengambil contoh Rizab Persekutuan AS (Fed), Mohd Sheriff berkata, bank pusat AS itu perlu menghadiri sesi soal jawab di kongres sebanyak tiga, empat kali dalam setahun."Saya berpendapat GLC yang besar perlu dipanggil di Parlimen.

Seperti yang kita tahu, di Parlimen terdapat beberapa jawatankuasa pemilih dan salah satu daripadanya akan bertanggungjawab untuk menyoal badan dan syarikat sebegitu.

"Ini adalah sesuatu yang sudah dilaksanakan di AS apabila Pengerusi Fed sendiri perlu hadir tiga, empat kali setahun untuk menjawab soalan daripada kongres berkaitan dasar fiskal dan cara operasi perbankan dilakukan.

"Sebagai Pengerusi PLUS (Malaysia Bhd), saya tidak kisah untuk dipanggil oleh jawatankuasa pemilih bagi menjawab soalan berkaitan tadbir urus dan operasi syarikat.

"Usaha ini adalah penting bagi memastikan syarikat GLC ini diuruskan dengan telus dan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada CEO Forum 2019 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Forum bertajuk Peranan GLC dalam Ekonomi Moden Malaysia itu itu turut disertai Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Pengerusi Tenaga Nasional Bhd, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Nurhisham Hussein.

Dalam pada itu, Mohd Sheriff enggan mengulas mengenai cadangan daripada kerajaan untuk menyuntik dana ke dalam PLUS Malaysia.

"Saya tidak boleh komen isu ini. Perlu bertanya kepada pihak kerajaan," katanya.

Semalam, kerajaan memberitahu di dalam Dewan Rakyat bahawa isu sama ada kerajaan perlu menyuntik dana kepada PLUS Malaysia bagi membantu pemegang konsesi itu melunaskan pinjaman sekali gus menyelesaikan isu tol akan dimasukkan dalam cadangan yang akan dibentangkan kepada Kabinet, Jun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, berkata ketika ini kerajaan melantik perunding bebas untuk mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan berhubung isu tol termasuk penghapusan tol.

Beliau berkata, cadangan supaya kerajaan menyuntik dana kepada PLUS bagi mengelak pengguna lebuh raya terus terbeban dengan kutipan tol akan turut diambil kira.

Berita Harian X