Khamis, 4 April 2019 | 5:02pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming. NSTP/Salhani Ibrahim.

Siri kedua jelajah Industry4WRD sasar PKS

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melancarkan jelajah Penilaian Kesediaan (RA) Industry4WRD siri kedua di seluruh negara pada suku kedua tahun ini.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming, berkata jelajah itu bertujuan untuk menarik lebih banyak penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam RA itu.

Ini kerana, katanya sehingga hari ini hanya 300 PKS yang telah mendaftar, jauh berbanding sasaran 500 yang ditetapkan.

"300 syarikat ini pun tidak semua akan terus diterima, tetapi akan dinilai terlebih dahulu sama ada layak atau tidak untuk menyertai RA ini.

"Justeru, kita mahu mendapatkan lebih banyak PKS untuk mendaftar supaya peruntukan RM15 juta yang disediakan untuk 500 syarikat ini dapat digunakan sepenuhnya," katanya ketika ditemui di luar Forum CEO 2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, bagi menarik lebih banyak PKS menyertai program itu, pihaknya merancang untuk memasuki bandar kecil di setiap negeri seperti Batu Pahat dan Kluang di Johor serta Taiping di Perak.

Katanya, kementerian tidak bimbang dengan jumlah pendaftaran yang dianggap rendah itu kerana ia menunjukkan cabaran sebenar yang dihadapi MITI.

"Seperti yang saya pernah sebut, banyak PKS tidak tahu mengenai revolusi industri 4.0 dan disebabkan itu amat penting buat kami untuk turun padang dengan lebih kerap mewarwarkan inisiatif ini.

"Penilaian kesediaan ini akan bermula pada suku kedua ini, berjalan serentak dengan jelajah ini," katanya.

Berita Harian X