Isnin, 8 April 2019 | 10:52am

Lynas timbang lakukan pemprosesan awal di Australia susulan tekanan Malaysia

MELBOURNE: Syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas Corp, hari ini berkata ia sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan kerja pemprosesan awal bijih berhampiran lombongnya di Australia, berikutan langkah Malaysia meningkatkan tekanan ke atas syarikat itu.

Lynas, pengeluar nadir bumi utama di dunia di luar China, terbabit dalam pertikaian dengan Malaysia, yang memaklumkannya untuk menghapuskan sisa yang terkumpul sebagai syarat memperbaharui lesennya pada September.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu berkata bahawa syarikat-syarikat yang berminat untuk mengambilalih Lynas telah berjanji untuk menghapuskan tahap radioaktif sebelum penghantaran bahan mentah ke negara itu.

Mahathir tidak menyatakan syarikat mana yang berminat dengan Lynas.

Syarikat itu bulan lepas menolak tawaran pengambilalihan AS$1.1 bilion oleh Wesfarmers, konglomerat berpangkalan di Australia.

Lynas berkata, buat beberapa bulan kebelakangan ini pihaknya membangunkan pelan terperinci yang akan membantu syarikat itu mengurangkan risiko daripada sebarang perubahan peraturan di Malaysia.

Ia berkata, pihaknya melihat potensi melakukan pemprosesan alternatif awal berhampiran sumber syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

Lynas melombong nadir bumi di Gunung Weld di Australia Barat dan kini mengangkut sari bahan itu ke kilang memproses bernilai AS$800 juta di Kuantan, Malaysia, yang mana ia menyimpan ribuan tan sisa.

Pemprosesan bijih peringkat awal di Australia untuk menurunkan tahap radioaktif bermakna loji khas pada kos kira-kira AUS$100 juta selama tiga tahun, demikian menurut laporan penyelidikan oleh firma pembrokeran CLSA.

Mahathir berkata, Lynas juga boleh beroperasi di negara itu selagi bahan mentah yang datang ke Malaysia dibersih dan dihapuskan radioaktif terlebih dulu. - Reuters

Berita Harian X