Isnin, 8 April 2019 | 4:57pm

MIHAS 2019 catat eksport RM1.6 bilion

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 merekodkan nilai eksport kira-kira RM1.6 bilion, meningkat 5.7 peratus berbanding RM1.52 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata sebahagian besar jualan terbabit disumbangkan oleh dua komponen utama merangkumi pameran dan segmen padanan perniagaan iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

“Pameran mencatatkan transaksi bernilai RM987.7 juta manakala INSP yang dijalankan sehari sebelum MIHAS, merekodkan RM615 juta membabitkan 2,211 padanan perniagaan antara 610 syarikat tempatan dengan 200 pembeli asing dari 43 negara.

“Sektor yang menyumbang kepada jumlah itu adalah makanan dan minuman (F&B), diikuti farmaseutikal dan perkhidmatan kewangan Islam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

MIHAS 2019 yang diadakan pada 3 hingga 6 April lalu di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) berjaya menarik penyertaan 1,000 pempamer mewakili 44 negara termasuk pembabitan Kemboja, Azerbaijan dan Uzbekistan.

Syarikat-syarikat tempatan di INSP adalah dari pelbagai negeri termasuk Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur, manakala antara negara asing terbabit ialah China, India, Arab Saudi, Jepun, Indonesia, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.

Acara itu turut menerima kehadiran lebih 29,946 pengunjung merangkumi syarikat tempatan dan antarabangsa, pertubuhan dan delegasi asing berbanding 21,539 pengunjung pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Wan Latiff berkata, MIHAS membuktikannya sebagai platform pilihan bagi perniagaan halal tempatan dan syarikat asing untuk memacu nilai ekosistem halal global.

“MIHAS yang diadakan bermula 2004 dengan tujuan menggalakkan industri halal tempatan dengan menggunakan platform padanan antarabangsa.

“Selepas 16 tahun, ia dilihat sebagai berjaya dalam meningkatkn penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mula meneroka pasaran eksport dan mengembangkan jejak perniagaan di luar negara,” katanya.

Anugerah MIHAS tahun ini turut memberi pengiktirafan kepada 12 syarikat dari dalam dan luar negara bagi mengiktiraf usaha ke arah inovasi dan menyuntik kreativiti ke dalam pembangunan produk.

Berita Harian X