Selasa, 9 April 2019 | 2:17pm

Bon Aramco terima pesanan AS$75 bilion

DUBAI: Saudi Aramco, syarikat minyak terbesar di dunia, menerima pesanan bernilai AS$75 bilion (RM307.16 bilion) bagi penjualan sulung bonnya, memulakan tawaran dengan pulangan yang berkemungkinan akan turun selari atau di bawah hutang kedaulatan Arab Saudi.

Adalah jarang berlaku bagi bon syarikat milik kerajaan menghasilkan pulangan kurang daripada hutang kerajaan dan permintaan itu mencerminkan selera tinggi pelabur terhadap kertas berkualiti tinggi.

Bagi Arab Saudi dan Aramco sendiri, kejayaan awal dalam penjualan bon itu menandakan pemulihan besar selepas pelabur, bank-bank di Wall Street dan gergasi korporat, buat seketika, menghindari kerajaan Saudi tahun lalu berikutan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

AS menyenaraihitamkan 16 warga negara Saudi kerana peranan mereka dalam pembunuhan Khashoggi, demikian menurut kenyataan Isnin.

Krisis itu, bersama-sama penyusutan harga minyak, melanda kerajaan Saudi lewat tahun lalu dan awal 2019, dengan mana ekonominya semakin perlahan dan pelabur mengeluarkan wang daripada pasaran saham tempatan.

Sekarang, keadaan itu kelihatan terbalik, dibantu oleh harga minyak yang meningkat kepada lebih AS$70 satu tong, menokok daripada AS$50 satu tong pada Disember.

Sebagai sebahagian daripada kemunculan pertamanya dalam pasaran hutang global, Aramco menawarkan bon dalam enam bahagian, daripada tiga hingga 30 tahun, demikian menurut sumber yang hampir dengan perkara itu, yang meminta supaya tidak didedahkan identiti kerana maklumat itu bersifat peribadi.

Aramco dijangka menjana antara AS$10 bilion dan AS$15 bilion, dengan harga dan saiz akhir dijangka pada petang Selasa waktu London.

Syarikat itu dijangka membayar kira-kira 1.25 mata peratusan lebih tinggi daripada Perbendaharaan AS bagi nota 10 tahunnya, berbanding perdagangan bon Saudi pada kira-kira 1.27 mata peratusan, kata bank-bank yang menjual hutang itu kepada pelabur.

Secara tradisinya, risiko premium menyusut dalam penjualan bon permintaan tinggi ketika mana proses penjualan berlangsung, yang menunjukkan bahawa Aramco berkemungkinan membayar lebih rendah.

Urus janji Aramco itu adalah antara tawaran hutang yang paling dinantikan tahun ini, menandakan buat kali pertamanya gergasi minyak Saudi itu memanfaatkan pasaran bon antarabangsa.

Ketika Qatar, negara pesaing Asia Barat, menjual AS$12 bilion bon pada awal tahun, ia mendapat rekod AS$50 bilion pesanan, bukti selera pelabur terhadap hutang negara-negara penghasil minyak yang kaya.

Buku pesanan untuk Aramco berkembang daripada kira-kira AS$40 bilion ketika perjanjian itu dimulakan pada awal Isnin, demikian menurut sumber yang mempunyai pengetahuan berhubung urus janji itu.

Perjanjian itu dilihat, sebahagian besarnya, sebagai Plan B untuk menjana dana untuk agenda ekonomi negara selepas tawaran awal permulaan (IPO) Aramco, yang ditetapkan pada 2018, ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya sehingga 2021.

Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman menggunakan kunci kira-kira kukuh Aramco untuk membiayai cita-citanya. - Bloomberg

Berita Harian X