Rabu, 10 April 2019 | 12:47pm
MENTERI Pembangunan Usahawan (MED), Mohd Redzuan Md Yusof. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

MIGHT, syarikat OEM bincang kerjasama NNCP - Mohd Redzuan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) selaku pelaksana Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) sedang berbincang dengan syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM) untuk bekerjasama dalam projek itu.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Mohd Redzuan Md Yusof, berkata kementeriannya juga mewujudkan portal NNCP di laman web rasmi kementerian untuk mengenal pasti bilangan vendor automotif yang mempunyai kemudahan dan infrastruktur untuk menyokong pembangunan NNCP.

“Sehingga kini, sebanyak 145 syarikat telah berdaftar mengikut senarai alat dan komponen kereta yang dibekalkan vendor.

“Kementerian dan MIGHT juga sedang membuat analisis terhadap senarai vendor tempatan yang telah berdaftar dengan MED untuk mengadakan padanan di antara syarikat utama dan vendor bagi mengenal pasti komponen-komponen yang boleh dibekalkan,” katanya pada Persidangan Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang ingin tahu status pembangunan projek NNCP serta program pembangunan vendor.

Mohd Redzuan berkata, hasil padanan syarikat utama dan vendor itu akan mewujudkan mekanisme pembekalan alat dan komponen kereta yang lebih sistematik serta meningkatkan kemahiran teknikal dan pembangunan kapasiti supaya pembekalan alat dan komponen memenuhi standard dan kualiti NNCP.

Beliau berkata, NNCP juga akan diterajui dan dibiayai pihak swasta dengan kerajaan hanya berperanan sebagai pemudah cara bagi pelaksanaan projek itu. - BERNAMA

Berita Harian X