Khamis, 11 April 2019 | 2:08pm
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Februari 2019 berbanding bulan sama 2018. - Foto hiasan

IPP Februari naik 1.71 peratus

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Februari 2019 berbanding bulan sama 2018, didorong peningkatan dalam indeks elektrik (4.9 peratus) dan perkilangan (3.7 peratus), kata Jabatan Perangkaan.

Bagaimanapun, indeks perlombongan mencatat penurunan lima peratus.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 3.7 peratus pada Februari 2019 berbanding bulan sama tahun lalu, selepas mencatatkan kenaikan 4.2 peratus pada Januari.

"Subsektor utama menyumbang kepada peningkatan pada bulan ini ialah makanan, minuman dan tembakau (6.3 peratus), produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (4.6 peratus) dan produk elektrik dan elektronik (3.1 peratus)," katanya.

Indeks sektor perlombongan mencatat penurunan lima peratus pada Februari 2019 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Penurunan itu disebabkan penurunan indeks gas asli (-5.6 peratus) dan indeks minyak mentah (-4.3 peratus).

Indeks sektor elektrik meningkat 4.9 peratus pada Februari 2019 berbanding Februari 2018. - BERNAMA

Berita Harian X