Ahad, 14 April 2019 | 3:18pm
KETUA Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia. Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid. - NSTP/Aziah Azmee

Pelabur asing terus jual saham tempatan

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencatatkan jualan bersih asing bagi tiga minggu berturut-turut apabila pelabur mengalihkan peruntukan aset mereka kepada aset selamat seperti bon dan pasaran wang.

Ini disebabkan oleh senario lembap dalam pasaran global yang membawa impak yang lebih besar berbanding faktor dalaman.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia. Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid. berkata jualan bersih semasa tempoh empat hari pertama minggu lalu berjumlah RM162.8 juta, susut daripada RM291.9 juta dalam tempoh yang sama minggu lalu.

“Pelabur runcit adalah pembeli utama di Bursa Malaysia sebanyak RM110.1 juta semasa tempoh 8 hingga 11 April, lantunan semula daripada jualan berjumlah RM11.3 juta daripada 1 hingga 4 April.

“Penyertaan institusi tempatan dalam saham tempatan berjumlah RM52.8 juta antara 8 hingga 11 April berbanding RM303.2 juta antara 1 hingga 4 April,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, aliran keluar mungkin akan berlaku dalam tempoh terdekat ini tetapi pencetus utama adalah perkembangan luaran seperti keputusan negatif Brexit, pendekatan kadar faedah rendah dalam kalangan bank pusat utama serta semakan semula menurun pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Biasanya, semasa tempoh berkenaan, pelabur akan sangat defensif, membawa kepada permintaan tinggi terhadap sekuriti selamat seperti instrumen pendapatan tetap," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan, berkata penurunan nilai jualan bersih bagi asas minggu-ke-minggu, disokong oleh faktor-faktor tempatan termasuk harga komoditi yang lebih baik, penstabilan ringgit dan jangkaan keluaran dalam negara kasar yang lebih baik bagi suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini bagi tahun ini, dana asing menjual RM1.8 bilion bersih ekuiti tempatan.

“Melihat kepada kesannya ke atas Bursa Malaysia yang dijangka menyaksikan lantunan semula teknikal minggu depan, dijangkakan bahawa akan ada belian dana asing bersih sebanyak lima peratus didorong oleh peningkatan harga komoditi serta mengekalkan kadar faedah,’’ katanya kepada Bernama.

Bagi pergerakan ringgit pada minggu lalu, data mengecewakan Indeks Pengeluaran Perindustrian Februari 2019, yang tumbuh hanya 1.7 peratus tahun ke tahun, serta semakan menurun unjuran pertumbuhan global oleh IMF telah menyebabkan ringgit mencatatkan paras terendahnya dalam tempoh 10 minggu pada 4.1120 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, penganalisis kewangan yang enggan namanya disebut berkata berita penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri akan memberi rangsangan kepada ringgit.

Di dalam negara, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi membentang Kertas Putih Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Fleda) di Parlimen pada Rabu dan mendedahkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan Felda menerusi geran, pinjaman dan jaminan kerajaan.

Sementara itu, saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) turun 52 sen kepada RM12.06 pada sesi penutup Khamis selepas Khazanah Nasional Bhd dilaporkan menjual 85 juta saham syarikat utiliti tersebut pada harga RM12.33 sesaham.

Jualan itu menghapuskan RM2.5 bilion daripada permodalan pasaran gergasi utiliti itu, mengurangkan saiznya kepada RM69.03 bilion.

Susulan penjualan itu, Khazanah kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan margin yang luas dalam TNB.

-BERNAMA

Berita Harian X