Isnin, 15 April 2019 | 11:06am
Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Gabung dana SKMM, Telco, Kerajaan perluasan infrastruktur telekomunikasi

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menyaksikan perluasan infrastruktur telekomunikasi agresif menerusi penggabungan dana perbelanjaan kerajaan dengan suntikan berbilion ringgit lagi daripada dua dana milik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kerjasama swasta awam (PPP).

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, berkata strategi itu bertujuan untuk meningkatkan penerokaan jalur lebar negara yang akan mencetuskan pelbagai manfaat limpahan ekonomi termasuk peningkatan RM18 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Katanya, angka RM18 bilion itu sejajar dengan laporan Bank Dunia yang menyasarkan peningkatan 1.38 peratus kepada KDNK bagi mana-mana negara membangun yang meningkatkan penerokaan jalur lebarnya sebanyak 10 peratus setahun.

“Maka kita lihat pelbagai cara merangsang ekonomi dan menambah baik infrastruktur telekomunikasi kerana apabila kita meningkatkan penerokaan jalur lebar maka kita akan menikmati KDNK yang lebih tinggi tidak termasuk limpahan manfaat lain kepada ekonomi.

“Contohnya, menara telekomunikasi 4G yang memiliki sambungan fiber optik hanya 30 hingga 40 peratus, maka jika untuk semua 100 peratus menara telekomunikasi ada sambungan gentian optik liputan kelajuan 4G akan mencapai lebih 100 Mbps, belum lagi kita lihat manfaatnya untuk paradigma 5G kepada industri,” katanya.

Beliau ditemui ketika temubual eksklusif dengan BH sempena promosi Pameran 5G Malaysia yang akan diadakan di Putrajaya selama empat hari bermula 18 April ini.

Pameran yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan menghimpunkan 11 pempamer teknologi telekomunikasi termaju 5G yang mengadaptasi lapan komponen manfaat teknologi itu seperti mesin-ke-mesin (M2M), internet kebendaaan (IoT) dan kereta pandu sendiri.

Mengulas lanjut, Al-Ishsal, berkata pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri bagi melihat potensi menggunakan dua dana di bawah SKMM untuk mempercepatkan dan meningkatkan kualiti rangkaian telekomunikasi gentian optik, tanpa wayar dan 5G.

Katanya, dua dana terbabit adalah Dana SKMM yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Dana USP) yang ditubuhkan mengikut Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

“Sudah tentu ada (sokongan dari kerajaan) dari segi infrastruktur dan geran, saya tidak boleh cakap bagi pihak kerajaan tapi dari segi SKMM sebagai organisasi yang uruskan Dana SKMM dan Dana USP yang mana kedua-dua dana ini mencecah berbilion ringgit hasil pelbagai pendapatan termasuk diterima menerusi spektrum.

“Maka kami mungkin melaksanakan PPP dengan dana ini digabungkan dengan dana yang ada bersama SKMM yang mana setiap tahun syarikat telekomunikasi memperuntukkan antara RM1 bilion hingga RM2 bilion sebagai modal belanja infrastruktur mereka.

“Bahkan jika ada keperluan juga kita bersedia meninjau meraih dana daripada pasaran modal, kerana kita sentiasa melihat cara merangsang ekonomi dan menambah baik infrastruktur,” katanya.

Berita Harian X