Isnin, 15 April 2019 | 8:28pm
DZULEIRA dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan KreativitiGlobal Malaysia (MaGIC). - Foto Endeavor Malaysia

Dzuleira CEO baharu MaGIC

PUTRAJAYA: Dzuleira Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan KreativitiGlobal Malaysia (MaGIC) baharu berkuat kuasa hari ini, demikian menurut Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Sebelum ini beliau adalah CEO dana modal teroka Cradle Seed Ventures.

MED dalam kenyataan hari ini berkata, Dzuleira membawa bersamanya pengalaman dalam ekosistem teknologi tempatan yang akan memberi manfaat kepada syarikat pemula niaga teknologi yang pesat berkembang.

Sebagai pelabur dana modal aktif, beliau adalah lembaga pengarah di beberapa syarikat pemula niaga teknologi, selain sebagai anggota majlis Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom).

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta di pelbagai industri berkaitan teknologi dan inovasi khusus, modal teroka dan ekuiti persendirian, kewangan korporat, undang-undang dan tadbir urus, penstrukturan urus niaga dan pengurusan pihak berkepentingan.

MED turut mengumumkan barisan Lembaga Pengarah baharu MaGIC termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Strategi Keusahawanan) kementerian Dr Anis Mahmud, CEO Go Shop, Astro Malaysia Holdings Bhd Dr Grace Lee Hwee Ling dan Ketua Pegawai Strategi Malaysia Airports Holdings Bhd Azli Mohamed.

Turut terbabit ialah Pengarah Eksekutif Eastern Distinction Sdn Bhd Datuk Abdul Malik Baba, Pengerusi PIKOM Ganesh Kumar Bangah, Pengasas EPIC Collective John-Son Oei dan perunding Melewar Bhd Tariq Ismail Mustafa.

Bagaimanapun MED berkata: “Pelantikan mereka adalah bergantung kepada kelulusan muktamad pihak berkaitan. - BERNAMA

Berita Harian X