Selasa, 16 April 2019 | 6:26pm

MIER unjur peningkatan semua sektor ekonomi

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan semua sektor yang menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan pada 2019.

Dalam laporan Unjuran Ekonomi Malaysia: Kemas Kini Suku Pertama 2019 yang dikeluarkan hari ini, MIER berkata sektor perkhidmatan diunjurkan mencatatkan pertumbuhan sederhana pada 5.5 peratus tahun ini, merosot daripada 6.8 peratus pada 2018, dan akan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan KDNK.

Katanya sektor itu dijangka terus mendapat manfaat daripada ringgit lebih rendah dan mencatat keuntungan daripada pelaburan yang kukuh pada 2019.

“Kira-kira separuh pelaburan (Malaysia) yang diluluskan adalah bagi projek sektor perkhidmatan, mewujudkan lebih 68,800 pekerjaan baharu,” katanya.

MIER berkata bagi sektor pembuatan, penyumbang kedua terbesar kepada KDNK, dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2019, mencatatkan penurunan daripada 5.0 peratus tahun lepas berikutan data interim menunjukkan kelembapan prestasi pembuatan disebabkan pertumbuhan permintaan global yang lebih perlahan.

Katanya pertumbuhan permintaan global lebih perlahan adalah disebabkan pertumbuhan lebih perlahan daripada jangkaan dalam beberapa ekonomi utama dan ini ditambah lagi oleh peningkatan sentimen perlindungan di seluruh dunia, terutamanya dengan memuncaknya perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, MIER berkata sektor pertanian, perlombongan dan kuari, serta pembinaan pada 2019 dijangka berkembang pada tahap lebih cepat berbanding pada tahun sebelumnya.

Sektor pertanian diunjurkan berkembang 1.3 peratus tahun ini, sebahagiannya disumbangkan oleh permintaan terhadap minyak sawit mentah (MSM) dipacu peningkatan permintaan bagi biodiesel dan penyusutan nilai ringgit, berbanding penguncupan 0.4 peratus pada 2018.

Sektor perlombongan dan kuari, MIER berkata dijangka berkembang 1.3 peratus bagi dua tahun akan datang, meningkat daripada penguncupan 1.5 peratus tahun lalu.

Sektor pembinaan dijangka berkembang 5.0 peratus tahun ini berbanding 4.2 peratus pada 2018.

Dari segi sumbangan kepada pertumbuhan KDNK, sektor perkhidmatan dijangka menyumbang paling banyak kepada pertumbuhan iaitu sebanyak 3.1 peratusan mata (ppts) diikuti sektor pembuatan (1.1 ppts), sektor pembinaan (0.2 ppts), sektor pertanian (0.1 ppts), dan sektor perlombongan dan kuari (0.1 ppts).

– BERNAMA

Berita Harian X