Rabu, 24 April 2019 | 4:04pm
RICHARD Record ketika sidang media mengenai Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di Sasana Kijang. - Foto BERNAMA
RICHARD Record ketika sidang media mengenai Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di Sasana Kijang. - Foto BERNAMA

ECRL, Bandar Malaysia jana impak ekonomi negara - Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menjangkakan pelaksanaan dua projek mega pelaburan awam iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia akan menjana impak kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan Laporan Ekonomi Asia Tenggara dan Pasifik bagi April 2019, Bank Dunia mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia berkembang sederhana kepada 4.7 peratus tahun ini, seterusnya kepada 4.6 peratus bagi dua tahun berikutnya pada 2020 dan 2021.

Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr Richard Record, berkata unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2020 dan 2021 itu bagaimanapun belum mengambil kira keputusan pelaburan awam terbaharu kerajaan untuk menyambung semula kedua-dua projek berkenaan.

Katanya, daripada perspektif KDNK, pelaburan awam kebiasaannya akan memberikan sokongan jangka sederhana, asalkan diuruskan dengan cekap dan seimbang dari segi kemampuan pelaburan dengan kemampanan hutang supaya menjamin pulangan pelaburan maksimum.

“Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK tahun ini, walaupun dijangka berkembang pada kadar lebih tinggi.

“Manakala perbelanjaan isu rumah akan disokong oleh persekitaran tenaga kerja yang stabil dan langkah sokongan pendapatan seperti Bantuan Sara Hidup.

“Pembentukan modal tetap kasar dijangka meningkat sedikit dipacu sektor swasta, manakala pelaburan awam pula akan terus lemah dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media pengumuman laporan itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Record berkata, beberapa inisiatif untuk isi rumah berpendapatan rendah termasuk Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40, skim insurans kumpulan B40, dan inisiatif kediaman mampu milik kini dalam perancangan Malaysia yang akan memperbaiki tahap kesejahteraan kewangan dan bukan kewangan rakyat.

Katanya, Malaysia juga dijangka terus berdepan cabaran peningkatan risiko dan tekanan kepada pertumbuhan ekonomi.

“Berdasarkan cabaran luar, kebergantungan Malaysia yang tinggi bagi dagangan dan integrasi kewangan mendedahkan negara kepada ketidaktentuan ketegangan dagangan Amerika Syarikat (AS) - China dan sentimen peralihan pasaran kewangan global.

“Manakala, faktor domestik pula menyaksikan liabiliti kerajaan yang tinggi dan peningkatan kebergantungan kerajaan kepada sumber berkaitan minyak berisiko menghadkan fleksibiliti fiskal negara terhadap kejutan makroekonomi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Record berkata, menjelang 2020 ekonomi dijangka berkembang pada 4.6 peratus manakala petunjuk semasa turut mencadangkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2024.

Katanya, defisit fiskal negara juga dijangka terus mengecil kepada 3.4 peratus daripada KDNK 2019 dan tiga peratus pada tahun 2020.

Laporan Ekonomi Asia Tenggara dan Pasifik bagi April 2019 turut menyatakan pertumbuhan ekonomi bagi rantau yang sedang membangun itu dijangka turut berdepan kelembapan kepada enam peratus untuk tahun ini dan 2020, berbanding 6.3 peratus tahun lalu.

Bahkan, Bank Dunia turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global kepada 2.7 peratus tahun ini berbanding 2.9 peratus yang diunjurkan pada Januari lalu, susulan perubahan kepada persekitaran global yang lebih mencabar ketika ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X