Jumaat, 26 April 2019 | 6:55pm
LIM Guan Eng menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian HOC-MAPEX 2019, di Mid Valley, Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

Pembeli rumah diminta buat aduan jika susah dapat pinjaman

KUALA LUMPUR: Pembeli rumah digalakkan membuat aduan kepada Kementerian Kewangan, jika menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pihaknya akan memanjangkan aduan terbabit kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan semak dengan BNM mengapa bank ini dengan sengaja tidak meluluskan pinjaman. Kita mahu semua institusi bank menggalakkan pemberian pinjaman.

“Saya ingatkan kepada institusi perbankan, jangan halang usaha kerajaan untuk tingkatkan pemilikan rumah dengan tidak memberi pinjaman,” katanya kepada media ketika melancarkan Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX) di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, kebanyakan pembeli yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman adalah membbaitkan kediaman di bawah RM300,000 kerana margin atau keuntungan yang diperoleh daripada pemaju adalah kecil.

Mengulas mengenai Kempen HOC, Guan Eng berkata, sebanyak 72 pemaju yang menyertai kempen berkenaan digalakkan memberi diskaun sekuang-kurangnya 10 peratus daripada harga jualan.

“Jika tak kurang 10 peratus, kita akan ambil tindakan, pemaju mesti kurangkan harga rumah 10 peratus kecuali harga kediaman di bawah RM300,000 kerana ia termasuk di bawah harga kawalan. Harga di atas RM300,000, pembeli mesti dapat 10 peratus diskaun,” katanya.

Menurut Statistik Ekonomi Tahunan 2018, subsektor perumahan menjadi antara penyumbang utama dalam sektor pembinaan dengan nilai output keseluruhan sektor pembinaan bernilai RM204.4 bilion.

Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 juga turut menyatakan bahawa pertumbuhan sektor pembinaan dijangka berkembang 4.7 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2018.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan terus komited untuk mengurangkan stok rumah tidak terjual yang membelenggu industri berkenaan.

“Bagaimanapun, ia bukan satu penyelesaian jangka panjang, ini kerana jika kita mahu indsutri pembinaan kembali kukuh, semua pemegang taruh industri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sektor perumahan kekal mampan.

“Dari sudut penawaran, pemaju perlu lebih peka kehendak pasaran dan pembeli. Pemaju harus menumpukan perhatian kepada rumah mampu milik dan mengurangkan pembinaan hartanah mewah.

“Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu mendiami rumah milikan sendiri tanpa dibebani hutang berlebihan, sekali gus mengurangkan masalah kepada longgokan hartanah tidak terjual,” katanya.

Berita Harian X