Selasa, 30 April 2019 | 5:05pm
BANK Negara Malaysia (BNM).
BANK Negara Malaysia (BNM).

Sistem perbankan Malaysia kekal kukuh

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi kejutan makroekonomi dan kewangan yang teruk, dengan disokong terdapatnya lebihan penampan modal sebanyak RM154 bilion pada Mac 2019, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata, modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET-1) pada suku pertama 2019 meningkat didorong khususnya oleh perolehan tertahan yang bertambah apabila beberapa bank mengambil kira keuntungan tahun kewangan berakhir 2018.

“Pada Mac, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ini turut dialami oleh kebanyakan mata wang serantau.

“Susut nilai mata wang ini disebabkan terutama oleh aliran keluar bukan pemastautin daripada pasaran ekuiti berikutan sentimen yang lemah dalam kalangan pelabur akibat kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global dan geopolitik dan juga faktor dalam negara.

“Berikutan itu, FBM KLCI merosot sebanyak 3.8 peratus,” menurut BNM dalam laporan Sorotan Bulanan Mac 2019 yang diterbitkan hari ini.

BNM berkata, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun berkurangan sebanyak 13 mata asas, didorong aliran masuk bukan pemastautin yang berterusan sebanyak RM2.7 bilion ke dalam pasaran bon kerajaan.

Katanya, penurunan itu sejajar dengan aliran menurun kadar hasil bon kerajaan sedunia berikutan keadaan kewangan global yang semakin baik.

BNM juga berkata inflasi keseluruhan meningkat kepada 0.2 peratus mencerminkan inflasi pengangkutan yang mencatatkan kadar negatif lebih rendah.

“Hal ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak sedunia yang seterusnya mengakibatkan harga bahan api dalam negara lebih tinggi.

“Inflasi dalam kategori lain secara relatif adalah stabil. Tidak termasuk kesan perubahan dasar cukai penggunaan, manakala inflasi teras tidak berubah pada 1.6 peratus,” kata BNM.

-BERNAMA

Berita Harian X