Rabu, 1 Mei 2019 | 3:03pm
PEMBANTU Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria pada Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung MASwings Bagi Laluan Baharu Lahad Datu- Sandakan, di Lapangan Terbang Lahad Datu. - NSTP/Norasikin Daineh

MASwings lancar laluan baharu Lahad Datu-Sandakan

LAHAD DATU: MASwings hari ini melancarkan penerbangan sulungnya bagi laluan baharu Lahad Datu ke Sandakan.

Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria, berkata laluan baharu itu beroperasi 14 kali seminggu untuk perjalanan pergi dan balik.

“Laluan baharu ini akan memudahkan dan memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk datang ke daerah sekitar pantai timur.

“Penerbangan ini ada jaringan untuk daerah yang dilawati seperti dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu kemudian ke Sandakan, seterusnya ke Semporna menerusi penerbangan Tawau.

“Kita boleh beri pusingan rangkaian atau jaringan penerbangan dalam pengembaraan mereka (pelancong) dan pelancong suka begitu,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran penerbangan sulung Lahad Datu-Sandakan di Lapangan Terbang Lahad Datu, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, MASwings ada banyak permintaan jaringan penerbangan dan mungkin ada laluan baharu boleh diterokai mengikut perkembangan ekonomi sesuatu tempat.

“Kita ada industri pelancongan tersendiri dan kita turut menerima permintaan jaringan penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu kerana ada potensi.

“MASwing ditubuhkan 10 tahun lalu untuk rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai satu perkhidmatan kepada komuniti. Tetapi apabila ekonomi kawasan itu membangun selain diberi subsidi untuk membuka laluan, kita komersialkan dan apabila ia mula berkembang, kita naikkan semula (Lahad Datu-Sandakan),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mungkin MASwings akan membuka laluan lain kalau tiada syarikat penerbangan lain berbuat demikian.

“Nanti, mungkin juga ada lain lagi (laluan baharu) yang syarikat penerbangan lain tidak pergi,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian, berkata pelancaran laluan baharu itu satu langkah yang tepat untuk mengimbangi pembangunan di pantai barat dan pantai timur Sabah.

“Semua tahu di pantai barat terkenal dengan industri pelancongannya, manakala di pantai timur hanya Semporna paling mendapat tumpuan.

“Jadi, usaha MASwings memperkenalkan laluan baharu ini dilihat akan memberi kesan kepada industri pelancongan di Sabah, khususnya Lahad Datu dan Semporna,” katanya.

Berita Harian X