Khamis, 2 Mei 2019 | 11:46am
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Kerjasama Malaysia, Jepun bantu PKS guna pengilangan pintar

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun akan meningkatkan kerjasama pengilangan pintar bagi membantu pengilang tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan teknologi berkenaan.

Kerjasama antara kedua-dua negara itu juga disasar untuk membabitkan konsortium industri Jepun bagi tujuan perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan pameran projek.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata kerjasama pengilangan pintar itu diletakkan di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

“Menerusinya, pelbagai program akan dijalankan termasuklah yang memberi tumpuan kepada aspek pembinaan kapasiti dan kebolehan; pembangunan standard industri; inovasi teknologi dan pengkomersilan bagi teknologi pintar serta siri bengkel yang akan dihoskan SIRIM dan Dewan Perniagaan Dagangan dan Industri Jepun di Malaysia (JACTIM).

“Selain itu, beberapa segmen industri juga telah dikenalpasti bagi kerjasama ini iaitu mekanikal dan kejuruteraan; peranti perubatan; makanan dan minuman; pengangkutan (termasuklah aeroangkasa dan rel); elektrik dan elektronik; kimia dan industri hijau.

“Semua segmen industri yang terpilih ini dijangka boleh meningkatkan kesedaran dan pendedahan terhadapa PKS pengilangan di negara ini dalam revolusi Industri 4.0,” katanya selepas pelancaran kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Duta Besar Jepun, Dr Makio Miyagawa.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar bagi negara ini pada 2018.

Nilai dagangan dua hala bagi kedua-dua negara RM69.06 bilion untuk sektor eksport manakala sektor import pula menyumbang sebanyak RM63.51 bilion.

Jepun juga kekal sebagai pelabur terbesar bagi pelaburan asing langsung dalam sektor pengilangan dengan nilai pelaburan sebanyak RM84.2 bilion sehingga 2018.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata Hab Pengilangan Pintar SIRIM di Bukit Jalil akan bekerjasama dengan rakan tempatan seperti Vitrox, Pusat Pembangunan Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC); Telekom Malaysia Bhd (TM) dan penyedia penyelesaian teknologi dari Jepun bagi membantu syarikat tempatan dalam perjalanan Industri 4.0.

“Kami berharap dapat menyediakan pembekal tempatan dengan ekosistem pengilangan Jepun dan PKS terbabit perlu mengambil peluang ini untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Berita Harian X