Khamis, 2 Mei 2019 | 7:35pm
Dr Mahathir melancarkan Platform e-Dagang Digital Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ ASEAN di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Dr Mahathir melancarkan Platform e-Dagang Digital Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ ASEAN di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Peluang besar syarikat tempatan dalam e-dagang

PUTRAJAYA: Syarikat tempatan mempunyai peluang besar dalam sektor e-dagang kerana terdapat agensi yang mempunyai data maklumat barangan yang diperlukan berdasarkan permintaan dan penawaran, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jika kita mempunyai barangan untuk dijual, kita boleh dapat akses pasaran dunia. Jika dulu buat produk makanan umpamanya dan letak di kedai, kadang-kadang tak laku, tetapi dengan adanya teknologi dan capaian internet, penjualan dapat dibuat menerusi atas talian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Platform e-Dagang Digital Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ ASEAN di sini, hari ini.

Hadir sama ialah, Menteri Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Pengerusi Commodities Global Trade Sdn Bhd, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Pengerusi BOCE, Dongsheng Yan.

Platform Digital e-dagang BOCE Malaysia / ASEAN itu akan berpangkalan di sini dan menjadi hab e-dagang baharu yang membolehkan perniagaan di Malaysia dan ASEAN memasuki pasaran China melalui platform digital yang selamat dan cekap.

Tianjin Bohai Commodity Exchange (BOCE) melantik sebuah syarikat Malaysia, Commodities Global Trade Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan platform dagangan serantau berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk melonjakkan produktiviti di semua peringkat dan mempromosi pelaburan berkualiti ke dalam negara.

Tegasnya, kerajaan Pakatan Harapan yang hampir berusia setahun juga mahu memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mapan dan membantu industri tempatan berkembang.

Beliau berkata, dasar kerajaan jelas iaitu untuk menjadikan Malaysia negara maju dengan dasar perlindungan alam sekitar dan sosial yang baik, keterangkuman ekonomi serta harmoni.

“Malaysia seperti negara membangun lain sedang menuju ke era baharu dan mendepani ekonomi digital.

“Saya yakin negara akan melangkah ke arah masa depan secara progresif dan masih mengekalkan budaya, warisan dan legasi.

“Kita sudah melalui perjalanan yang jauh untuk berada di mana kita berada hari ini dan walaupun berhadapan pelbagai cabaran, kita tetap bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, negara anggota ASEAN juga perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memastikan ekonomi gabungan itu terus teguh dan dinamik di rantau ini.

“Integrasi negara ASEAN penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi global dan kemakmuran. Ekonomi ASEAN juga unik kerana ikatan hubungan sejarah, budaya dan persamaan dalam sistem nilai.

“Pertumbuhan ekonomi digital di Asia Tenggara menjadikan kunci kerjasama rentas sempadan untuk merealisasikan potensi penuh ASEAN kerana ia adalah salah satu wilayah yang paling cepat berkembang di seluruh dunia.

“Seperti Asia Tenggara yang inovatif dan berdaya tahan, teknologi digital akan memainkan peranan penting dalam kemajuan serantau,” katanya.

Berita Harian X