Jumaat, 3 Mei 2019 | 12:17pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Azhar Ramli
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Azhar Ramli

MoF kekal sasaran KDNK 4.9% bagi 2019 - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.9 peratus bagi tahun ini, meskipun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei bagi Malaysia menunjukkan kemungkinan pengembangan 5.2 peratus untuk tahun ini.

Menterinya Lim Guan Eng berkata kementerian itu menyambut baik bacaan PMI terbaru bagi Malaysia itu, yang menokok ke tahap tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada 49.4 mata pada April 2019 daripada 47.2 mata bulan sebelumnya.

Peningkatan PMI April disumbangkan oleh, antara lain, peningkatan pesanan eksport, pertumbuhan pekerjaan, pelaburan dalam mesin dan loji baharu, serta peningkatan keyakinan perniagaan yang dibina atas kejelasan dasar dan kepastian yang disediakan agenda reformasi kerajaan.

"Pertumbuhan mampan yang berterusan membuktikan bahawa inisiatif pemulihan dan pembangunan semasa yang dijalankan pentadbiran Pakatan Harapan diteruskan seperti yang dirancang.

"Kerajaan akan meneruskan usahanya untuk meningkatkan kebajikan rakyat dengan memberi tumpuan kepada mencapai pertumbuhan yang berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nikkei, tahap keyakinan perniagaan pada bulan April juga tertinggi sejak Oktober 2013.

Peningkatan pelaburan baharu adalah hasil langsung daripada keupayaan kerajaan untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia yang diluluskan sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion pada 2018 daripada RM54.5 bilion pada 2017. - BERNAMA

Berita Harian X