Rabu, 8 Mei 2019 | 3:21pm

Kadar faedah pinjaman kenderaan dijangka turun

KUALA LUMPUR: Kadar faedah pinjaman kenderaan dijangka turun sedikit susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan penanda aras pinjaman, Kadar Dasar Semalam (OPR), sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Berdasarkan simulasi perkiraan yang dibuat AmBank Research, individu yang membeli kenderaan pada harga RM70,000 dengan pembayaran pendahuluan 10 peratus membabitkan tempoh pembayaran balik selama tujuh tahun, mereka berpeluang menikmati pengurangan bayaran balik RM13.12 sebulan susulan pengurangan OPR itu.

Walau bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata penjimatan minimum itu dijangka tidak akan memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan kerana penjimatan kecil itu dilihat tidak akan mendorong pengguna untuk membeli kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya cabaran terbesar bagi pengguna untuk membeli kenderaan adalah pembayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus.

“Kami percaya bahawa pengurangan kadar ini tidak akan menjadi perangsang bagi pertumbuhan dalam sektor automotif, tidak sama seperti cuti cukai tiga bulan pada 2018.

“Industri automotif Malaysia terus berdepan cabaran dengan masih diselubungi beberapa isu dan ia dijangka terus mencabar dalam persekitaran perniagaan kompetitif,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Sementara itu, MIDF Research melihat impak serampang dua mata susulan pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas terhadap industri automotif.

Lazimnya, ia berkata, pertumbuhan jumlah jualan kenderaan (TIV) mempunyai hubungan songsang dengan OPR.

“Kenaikan OPR mempunyai impak yang lemah terhadap pertumbuhan TIV dan sebaliknya jika OPR diturunkan, kadar sewa beli rendah,” katanya.

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, meskipun potensi pengukuhan perbelanjaan pengguna dan potensi peningkatan terhadap unjuran TIV, marjin pengusaha auto juga mungkin terjejas oleh ringgit yang berpotensi lebih lemah akibat penurunan OPR.

Berita Harian X