Rabu, 15 Mei 2019 | 3:15pm

Syarikat penerbangan dijangka tawar tambang kompetitif

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan syarikat penerbangan akan menetapkan harga tambang penerbangan yang kompetitif tahun ini, bagi menangani kadar permintaan yang semakin rendah.

Jangkaan itu adalah berdasarkan Laporan Industri dwitahunan Waypoint edisi keempat, apabila MAVCOM mengunjurkan peningkatan trafik penumpang penerbangan antara 105.5 juta hingga 106.7 juta, bersamaan dengan pertumbuhan trafik di antara 2.9 hingga 4.1 peratus berbanding 2018.

Pengerusinya, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, MAVCOM mengunjurkan ketidakpastian yang lebih tinggi pada masa depan berikutan kadar pertumbuhan ekonomi global dan tempatan akan menjadi lebih perlahan.

Beliau berkata, pada 2019, MAVCOM menjangkakan tekanan terhadap pendapatan dan seterusnya memberi tekanan ke atas keuntungan syarikat penerbangan Malaysia.

“Ini berikutan kadar pertumbuhan kapasiti tempat duduk yang dijangka akan melangkaui kadar pertumbuhan trafik penumpang penerbangan.

“Secara purata, harga minyak jet pada tahun 2019 dijangka lebih rendah berbanding tahun lalu dan ini akan mengurangkan tekanan kewangan yang dialami oleh syarikat-syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Nungsari berkata, suruhanjaya itu juga sedang memantau kadar pertumbuhan kapasiti permintaan bagi penerbangan domestik dengan teliti.

Menurutnya, perkara itu termasuklah mengambil kira jangkaan penambahan kapasiti tempat duduk yang memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan syarikat penerbangan tempatan.

“Pertumbuhan trafik antarabangsa bergantung kepada pelbagai faktor, tetapi kami ingin melihat peningkatan jumlah trafik penumpang penerbangan bagi destinasi ASEAN,” katanya.

Laporan berkenaan turut menyentuh mengenai purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) pada tahun 2018 bertambah secara marginal kepada 16.3 sen.

Ini kerana purata tambang antarabangsa yang susut sebanyak 2.4 peratus kepada RM486, manakala purata harga tambang domestik kekal tidak berubah pada RM221.

Walaupun terdapat sedikit kenaikan kapasiti sebanyak 3.2 peratus, purata faktor muatan pada 2018 susut sedikit kepada 81.8 peratus, menggambarkan kadar permintaan yang lemah.

Sementara itu, laporan itu juga menunjukkan peningkatan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 1.6 juta pelancong dari Indonesia, China, Korea Selatan, India, Taiwan, Filipina, Vietnam, Amerika Syarikat dan Jerman.

Berita Harian X