Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:11pm
DARELL Leiking

Menteri ketuai misi dagangan MITI ke Amerika Selatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan misi dagangan dan pelaburan ke Chile, Argentina dan Brazil bermula 20 hingga 24 Mei ini yang diketuai Menterinya, Datuk Darell Leiking.

Misi berkenaan akan dimanfaatkan dengan perjumpaan semula dengan wakil kerajaan, dewan perniagaan, persatuan dan syarikat yang terdapat di ketiga-tiga negara berkenaan bagi meningkatkan lagi ekonomi dua hala serta hubungan dagang antara semua negara terbabit.

MITI berkata, Pelbagai perbincangan termasuk mesyuarat perniagaan secara bersemuka dengan peneraju industri terpilih juga akan diadakan bagi mempromosi perniagaan dan peluang pelaburan di Malaysia dalam sektor berpotensi seperti automotif, peruncitan, perabot, sarung tangan getah, industri halal, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan perkhidmatan.

“Misi berkenaan akan bermula di Santiago, Chile pada 20 Mei, seterusnya di Buenos Aires, Argentina pada 21 Mei dan Brasilia serta Sao Paulo, Brazil pada 22 hingga 24 Mei.

“Di Brasilia, Menteri dijangka membuat kunjungan hormat kepada Presiden Persekutuan Republik Brazil, Jair Bolsonaro. Manakala di Buenos Aires pula, beliau akan membuat kunjungan hormat kepada Naib Presiden Republik Argentina, Marta Gabriela Michetti sebagai susulan kepada pertemuan mereka di Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Pada 2018, dagangan antara Malaysia dan Chile adalah sebanyak RM1.32 bilion dengan eksport Malaysia ke Chile berjumlah RM0.81 bilion manakala import berada pada RM0.51 bilion.

Lebih 60 peratus daripada eksport ke Chile disumbangkan oleh produk kimia, getah, kayu, elektrik dan elektronik serta minyak sawit.

Sementara itu, lebih 60 peratus daripada import dari Chile terdiri daripada logam sekerap, makanan laut, produk segar, sejuk atau sejuk beku serta produk agrikultur.

Bagi dagangan dengan Argentina pula, ia berjumlah RM5.39 bilion pada 2018 dengan eksport ke negara berkenaan adalah sebanyak RM0.57 bilion dan import sebanyak RM4.81 bilion.

Produk getah, elektrik dan elektronik, petroleum, minyak sawit, jentera, dan peralatan alat ganti menyumbang hampir 70 peratus daripada eksport ke Argentina.

Manakala, dagangan dua hala dengan Brazil pada 2018 adalah sebanyak RM11.57 bilion dengan eksport ke negara berkenaan sebanyak RM3.64 bilion dan import sebanyak RM7.93 bilion.

Daripada jumlah berkenaan, 77 peratus disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik, getah, bahan kimia, minyak sawit serta alatan jentera.

Sebanyak 82 peratus import dari Brazil pula datangnya daripada produk agrikultur serta makanan proses.

Berita Harian X