Selasa, 21 Mei 2019 | 11:34am

Ekonomi Singapura berkembang perlahan

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang pada 1.2 peratus pada asas tahun ke tahun bagi suku pertama 2019 yang lebih rendah daripada 1.3 peratus dicatatkan pada suku sebelum ini, demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Kementerian itu menjangkakan KDNK pada 2019 itu akan mencecah antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

Bagi asas pelarasan musim suku ke suku tahunan, ekonomi itu berkembang sebanyak 3.8 peratus berbanding penyusutan sebanyak 0.8 peratus pada suku sebelumnya, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sektor pembuatan menguncup sebanyak 0.5 peratus bagi tahun ke tahun berbanding pertumbuhan 4.6 peratus pada suku sebelumnya.

Penyusutan itu disebabkan oleh penurunan kluster kejuruteraan dan elektronik yang lemah berikutan pengurangan permintaan terhadap peralatan semikonduktor dan sektor itu di peringkat global.

Sektor pembinaan sebaliknya meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 1.2 peratus pada suku sebelumnya.

Malah, ini merupakan suku pertama pertumbuhan bagi tahun ke tahun selepas mengalami penyusutan selama 10 suku berturut-turut.

Sektor borong dan dagangan runcit merosot 1.8 peratus tahun ke tahun yang terbukti lebih ketara berbanding penyusutan 0.8 peratus pada suku sebelumnya berikutan penguncupan segmen berkenaan.

Selain itu, sektor pengangkutan dan penyimpanan pula meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun yang meneruskan pertumbuhan 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu kebanyakannya didorong oleh peningkatan pengendalian penumpang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Menurut MTI, segmen pengangkutan air bagaimanapun susut berikutan penurunan kargo yang dicatatkan oleh pelabuhan-pelabuhan di Singapura.

Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan meningkat sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun yang lebih sederhana berbanding pertumbuhan 3.5 peratus pada suku sebelumnya, didorong terutama oleh segmen penginapan yang berkembang susulan kadar penghunian kasar di hotel.

Bagaimanapun, prestasi segmen perkhidmatan makanan adalah suram, dijejaskan oleh jumlah jualan yang dicatatkan oleh restoran dan penyaji makanan.

Sektor maklumat dan komunikasi pula meningkat sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun yang jauh lebih pesat berbanding pertumbuhan 5.0 peratus pada suku sebelumnya, didorong khususnya oleh segmen perkhidmatan teknologi maklumat (IT) susulan permintaan memberangsangkan terhadap penyelesaian IT dan digital.

Sektor kewangan dan insurans berkembang 3.2 peratus tahun ke tahun berbanding 3.7 peratus pada suku sebelumnya.

Ini didorong terutamanya oleh pengembangan aspek lain-lain (penggiat pembayaran dan perkhidmatan pertukaran wang) serta segmen insurans.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan perniagaan susut kepada 2.3 peratus tahun ke tahun daripada 2.6 peratus pada suku sebelumnya dengan sebahagian besarnya disokong oleh segmen perkhidmatan dan hartanah profesional.

Bagi industri perkhidmatan lain pula meningkat secara ketara sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding pertumbuhan 0.3 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan segmen pendidikan, kesihatan dan khidmat sosial akibat peningkatan operasi dalam kemudahan penjagaan kesihatan.

Mengulas prospek ekonomi bagi 2019, kementerian itu berkata pertumbuhan global kekal suram berikutan ketidaktentuan serta risiko penurunan.

Malah, risiko konflik perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan rakan dagang utama, terutama China, berpotensi untuk terus berlanjutan berikutan tindakan perdagangan yang diumumkan AS baru-baru ini.

Selain itu, wujud risiko pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan daripada jangkaan awal yang boleh dijejaskan lagi dengan langkah AS mengenakan tarif lanjut ke atas negara itu.

Menurut MTI, penangguhan pelaksanaan Brexit sehingga 31 Oktober 2019, juga hanya memanjangkan ketidaktentuan ekonomi dan boleh memberi kesan terhadap pengguna dan sentimen perniagaan di United Kingdom mahupun Kesatuan Eropah.

Berlatar belakang senario luaran ekonomi yang mencabar sedemikian, sektor utama berorientasikan luaran di Singapura dijangka lebih perlahan pada tahun ini.

Pertumbuhan sektor pembuatan pula diunjur lebih perlahan selepas mencatat pengembangan yang pesat dalam tempoh dua tahun.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan berorientasikan luaran seperti perdagangan borong dan pengangkutan serta penyimpanan juga dijangka susut, seiring dengan pertumbuhan sederhana dalam ekonomi maju dan serantau utama.

Namun, kata MTI, masih terdapat pengukuhan dalam ekonomi Singapura.

Ini khususnya, pertumbuhan sektor maklumat dan komunikasi dijangka kekal memberangsangkan berikutan permintaan berterusan syarikat untuk penyelesaian IT dan digital.

Pada masa sama, pertumbuhan segmen pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial dijangka berdaya tahan, didorong oleh penambahbaikan operasi di kemudahan penjagaan kesihatan.

Sektor pembinaan juga dijangka mengalami pemulihan berterusan selepas susut tiga tahun berturut-turut berikutan peningkatan kontrak yang diterima sejak separuh kedua 2017 yang menyaksikan aktiviti pembinaan bagi tempoh berikutan bagi tahun ini, kata MTI.

Berita Harian X