Khamis, 23 Mei 2019 | 8:28pm

Alibaba Cloud, Sena bangun pengurusan trafik pintar

KUALA LUMPUR: Alibaba Cloud, anak syarikat pengkomputeran awan Alibaba Group menjalinkan kerjasama dengan Sena Traffic Systems (Sena), pengurus sistem trafik pintar tempatan untuk membina sistem pengurusan trafik pintar di negara ini.

Dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) berasaskan pengkomputeran awan, sistem itu akan menyempurnakan pengurusan infrastruktur trafik secara digital di bandar dan mempunyai potensi untuk mengurangkan masa perjalanan kepada 12 peratus.

Menerusi kerjasama itu, Alibaba Cloud akan membekal penyelesaian City Brain, pengkomputeran awan dan program perkembangan bakat, manakala Sena pula bertanggungjawab bagi mereka bentuk dan penyediaan sistem lampu isyarat serta pelaksanaan algoritma berpaten untuk sistem lampu isyarat bandar.

Presiden Alibaba Cloud Intelligence International, Selina Yuan, berkata penyelesaian trafik pintar itu akan terus menyempurnakan dan mengadaptasi persekitaran trafik yang kerap berubah, menjadikannya sebagai platform pembelajaran pintar dan bukan lagi sekadar alat analisis.

“Penyelesaian trafik pintar dan teknologi ini mempunyai potensi menyempurnakan situasi trafik, bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ASEAN. Kami akan terus memperkasakan sektor awam dan kerajaan di Malaysia, dengan pengkomputeran awan dan kepintaran data bagi mempertingkatkan kelancaran, inovasi dan kejayaan era digital,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman kerjasama itu di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi). Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Chuan Ou; Pengurus Besar Alibaba Cloud Malaysia, Kenny Tan; Pengarah Urusan Sena Traffic Systems, Datuk Tan Boon Hock; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Sukri.

Sementara itu, Boon Hock, berkata menerusi kerjasama dengan Alibaba Cloud, Sena akan mempunyai penyelesaian yang lebih baik dan lengkap untuk menyempurnakan kesesakan trafik dalam landskap bandar.

“Sena mewujudkan sistem trafik pintar pertama Malaysia dan menguruskan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) trafik pintar.

“Kami ingin mempercepatkan rancangan trafik pintar dan sedang meneroka peluang pembangunan dalam beberapa platform digital pintar untuk sistem pengurusan bandar seperti alat kawalan, internet untuk segalanya (loT) dan pengurusan bandar pintar bersama Alibaba Cloud,” katanya.

Kerjasama berkenaan adalah inisiatif terkini oleh Alibaba Cloud untuk terus memperkasakan rakan teknologi di Malaysia.

Alibaba Cloud sudah mewujudkan pusat data tempatan pertamanya di Malaysia pada 2017, membangunkan pusat kedua dan Anti-DDoS Scrubbing Center tahun lalu bagi mentokong ekonomi digital Malaysia.

Berita Harian X