Ahad, 26 Mei 2019 | 8:38pm
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Perniagaan Micron Technology Inc, Sumit Sadana.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Perniagaan Micron Technology Inc, Sumit Sadana.

Teksi udara dijangka diperkenalkan kurang daripada dua tahun

KUALA LUMPUR: Peneraju industri dalam penyelesaian memori dan penyimpanan inovatif, Micron Technology Inc, yakin pasaran automatif bakal menyaksikan pengenalan teksi udara di kebanyakan bandar besar seluruh dunia dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Perniagaannya, Sumit Sadana, berkata teknologi ketika ini begitu hampir untuk melaksanakannya dan ia semakin hampir untuk dikomersialkan.

“Terdapat banyak bandar besar berada dalam kesesakan yang teruk. Bayangkan, dalam jarak yang dekat, ia mengambil masa antara 1 hingga 2 jam untuk tiba.

“Teksi udara sangat diperlukan di bandar-bandar ini dan ia sememangnya menjadi satu cabaran bagi bandar di seluruh dunia untuk mengejar teknologi ini.

“Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah memberi sokongan kepada persekitaran untuk merealisasikannya dan menggubal dasar yang perlu,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bisnes BH, baru-baru ini.

Dalam usaha mengukuhkan operasi kumpulan, Sumit berkata, Micron Technology memperuntukkan AS$3.2 bilion (RM13.41 bilion) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perbelanjaan operasi dan pemasaran manakala perbelanjaan modal sebanyak AS$9 bilion (RM37.7 bilion) di peringkat global.

“Kita mempunyai pelaburan yang penting. Kumpulan sangat teruja kerana banyak syarikat menunjukkan minat untuk meneroka teknologi ‘teksi terbang’ ini.

“Kita tahu teknologi mampu mengubah seluruh lanskap sektor automatif. Apa yang boleh dilakukan oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan pembelajaran mesin... terlalu banyak sektor yang kita boleh peruntukkan dana yang ada,” katanya.

Ketika ini, katanya, kumpulan giat menjalin kerjasama dengan syarikat modal teroka di seluruh dunia yang terbabit dalam pelaburan AI dan pembelajaran mesin.

“Kami sudah pun menyenarai pendek beberapa syarikat yang berpotensi dan kami akan mulakan pelaburan tidak lama lagi.

“Fokus kami sudah tentu syarikat yang membangunkan teknologi semikonduktor baharu, aplikasi pembelajaran AI dan syarikat yang menggalakkan pengangkutan masa hadapan serta pemanduan tanpa pemandu.

“Selain itu, kumpulan sedang meneroka peluang untuk melabur dalam segmen pengangkutan baharu iaitu ‘teksi udara’ yang berkeupayaan untuk berlepas atau ‘take off’ dan mendarat,” katanya.

Mengulas lanjut, Sumit berkata, kemajuan teknologi 5G menjadi pemacu kepada industri AI kerana kemajuan rangkaian bergantung kepada kelajuan data dan semakin laju data berkenaan, ia memerlukan memori dan storan yang lebih besar kerana memproses lebih banyak data.

“Micron dijangka meraih manfaat daripada teknologi 5G ini dan bermula tahun 2020, dalam tempoh tujuh ke lapan tahun akan datang, anda akan lihat pertumbuhan kukuh dalam segmen 5G.

“Micron adalah peneraju dalam teknologi storan dan kami teruja dalam trajektori pertumbuhan dan semestinya, pemanduan tanpa pemandu akan menyokong peningkatan ini.

“5G adalah teknologi terpenting bukan sahaja kepada Micron namun kepada industri semikonduktor keseluruhannya untuk melangkah ke satu tahap yang baru,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, teknologi 5G memerlukan beberapa tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya dan pelaburan dalam rangkaian 5G sangat penting bagi setiap negara.

“Ia akan mengambil masa yang lama kerana kos untuk membangunkannya sangat tinggi. Mungkin teknologi ini akan dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, sama juga seperti di Malaysia.

“Lazimnya, ia akan bermula di negara atau bandar yang berkepadatan tinggi dan seterusnya ke kawasan lain,” katanya.

Berita Harian X