Isnin, 27 Mei 2019 | 4:29pm
Zukri menyampaikan ucapan pada Majlis Khatam Al-Quran dan Tabung Haji QuranHour di Menara Tabung Haji hari ini. - Foto BERNAMA

TH jangka pulangan hibah 2019 lebih baik

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mampu memberi pulangan hibah yang lebih baik untuk tahun ini berbanding kadar 1.25 peratus yang diberikan kepada pendeposit tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata ia bersandarkan prestasi suku pertama pengurus dana haji itu yang memberangsangkan serta suku kedua yang dijangka lebih baik.

Katanya, pendapatan TH dijangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun yang dijangka diterbitkan sebelum akhir bulan ini.

“(Hibah 2019) akan lebih daripada 1.25 peratus, (namun) berapa jumlahnya terlalu awal untuk saya katakan kerana kita baru berada di bulan Mei dan untuk saya katakan apa yang akan berlaku pada 12 bulan akan datang agak rumit, namun cukup untuk sekadar saya katakan ia akan lebih baik dari 1.25 peratus.

“Pada suku kedua nanti, TH dijangka akan mencatat prestasi lebih baik daripda suku pertama kerana kita akan menerima sukuk yang diterbitkan daripada SPV sebanyak RM800 juta pada 31 Mei ini.

“Kami mengharapkan sukuk ini akan diterbitkan seperti yang dijangka dan buat masa ini merasakan ia boleh dicapai sebelum berakhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour yang disertai lebih 1,000 kakitangan TH dan anak syarikatnya, di sini, hari ini.

TH merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019. 

Ia turut merekodkan pendapatan berjumlah RM623 juta bagi tempoh dikaji dan jumlah asetnya juga melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion.

Ditanya mengenai kesan keadaan ekonomi dunia yang semakin buruk susulan ketegangan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS)-China kepada TH, Zukri berkata, ia sebenarnya bukan saja akan menjejaskan TH, tetapi akan membabitkan semua pihak.

Katanya, di TH pihaknya akan membuat sedikit perubahan dari segi peruntukan aset seperti mana yang pernah disebut sebelum ini iaitu untuk mengurangkan pegangan ekuiti miliknya kepada 20 peratus.

“Pada tahun 2017 dan 2018, TH banyak menumpukan kepada pelaburan ekuiti sehinggakan sampai kepada 50 peratus. Justeru, pada tahun ini kita akan kurangkan pelaburan di dalam ekuiti dan akan beri penekanan kepada sektor lain.

“Jadi, berdasarkan kepada peruntukan aset lain yang telah dicadang dan dirancang, kami yakin untuk memberi pulangan yang agak baik kepada TH walaupun ekonomi dunia yang agak mencabar sekarang,” katanya.

Beliau berkata, TH sememangnya merancang untuk mengurangkan pegangan ekuitinya kepada 20 peratus namun belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana pengurangan itu tidak boleh dibuat secara mendadak dan terburu-buru.

“Jika keadaan pasaran tidak baik, kami tidak akan menjual ekuiti dalam keadaan rugi. Kami akan melakukannya secara perlahan-lahan dan untuk jangka pertengahan kami mahu kurangkan kepada 20 peratus.

“Tidak bermaksud menjelang 31 Disember 2019 pegangan ekuiti kami akan terus berkurang kepada 20 peratus kerana jika saham yang dipegang itu tidak menguntungkan, maka kami akan terus pegang sehingga pasaran kembali baik, sebelum menjualnya,” katanya sambil menambah TH kini memiliki pegangan ekuiti kurang daripada 30 peratus.

Berita Harian X