Selasa, 28 Mei 2019 | 8:40pm

Prasarana buka ruang kerjasama dengan PKS

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd sedia bekerjasama dengan syarikat korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi dan Transformasi), Ang Yoke Kee, berkata pihaknya sedang berusaha dengan syarikat yang boleh memberi manfaat dan kemudahan daripada segi makanan, barangan keperluan dan telekomunikasi di stesen-stesen dan hab-hab bas kepada pengguna yang berjumlah 1.2 juta orang setiap hari.

“Prasarana mempunyai sebanyak 115 stesen LRT, MRT dan Monorail yang menjadi transit kepada 1.2 juta warga pengguna setiap hari. Syarikat-syarikat boleh menggunakan peluang bukan sahaja untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka tetapi juga keselesaan,” kata beliau di Program ‘Buka Puasa untuk Hero’ di Stesen LRT Pasar Seni di sini, hari ini.

Kee juga berkata bahawa syarikat korporat dan PKS juga boleh menggunakan platform ini bagi mengembangkan perkhidmatan dan strategi pengiklanan mereka.

Selain itu, Kee juga menekankan bahawa syarikat juga berpeluang menamakan stesen mengikut nama syarikat bagi strategi pengiklanan.

Kee juga berkata pihak prasarana mempunyai perancangan bagi meningkatkan aktiviti komersial di aset-aset milik prasarana termasuk hartanah dan transformasi digital.

Dalam pada itu, prasarana bersama dengan syarikat tempatan terkenal Nasi Lemak Saleha Sdn Bhd dan Food Panda Malaysia berjaya mengedarkan sebanyak 1,000 pek Nasi Lemak Saleha kepada pengguna Stesen LRT Pasar Seni.

Selain membantu, program itu juga bertujuan menghargai warga kota bekerja hingga lewat petang lalu tidak sempat berbuka puasa bersama keluarga.

Ini juga titik permulaan bagi Nasi Lemak Saleha untuk bekerjasama dengan Prasarana dan mengembangkan perniagaan mereka.

Ketua Pengawai Eksekutif Nasi Lemak Sdn Bhd, Saleha Abdullah, berkata buat permulaan, stesen LRT Pasar Seni telah dipilih sebagai tempat pertama pembukaan, diikuti dengan Wangsa Maju, Maluri dan stesen Ampang untuk fasa pertama.

“Insya Allah, pada masa hadapan, kita akan memasuki pula stesen-stesen Subang Jaya dan Putra Heights. Pastinya, dengan gandingan Prasarana dan FoodPanda Malaysia ini, lebih ramai orang akan dapat menikmati juadah Nasi Lemak Saleha,” katanya.- BERNAMA

Berita Harian X