Isnin, 3 Jun 2019 | 3:44pm
Pentadbiran Am Kastam China sudah meluluskan pengimportan durian sejuk beku bermula 30 Mei lalu. - Foto hiasan

China lulus import durian dari Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia kini bersedia memenuhi ‘keinginan’ rakyat China untuk mendapatkan ‘Raja Buah’ tempatan iaitu durian.

Ia berikutan Pentadbiran Am Kastam China sudah meluluskan pengimportan durian sejuk beku bermula 30 Mei lalu menerusi satu perjanjian yang ditandatangani pada Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, dalam status di Facebooknya Jumaat lalu, berkata pasaran durian di China sangat besar dan Malaysia hanya dapat mengeksport dalam bentuk pulpa durian dan pes beku ke China.

“Eksport keseluruhan durian sejuk beku akan membuka peluang pasaran kepada penanam durian tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

China kini mengimport sekitar 300,000 tan durian setiap tahun, terutama dari Thailand.

Malaysia hanya mengeksport kira-kira 17,000 tan atau 5.8 peratus daripada pengeluaran tahunan, terutama ke Singapura, Thailand, Hong Kong, Australia, Amerika Syarikat dan China.

Selain itu, Tze Tzin berkata, permintaan yang melambung tinggi di China tidak akan menaikkan harga buah tempatan itu kerana sudah ramai penanam yang mula menanam durian dan pengeluarannya mungkin akan bertambah.

“Malaysia juga sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran produk durian seperti aiskrim dan biskut, selain menarik pelancong ke ladang durian menerusi pendekatan "DurioTourism." - Bloomberg

Berita Harian X