Isnin, 3 Jun 2019 | 4:48pm
Pengasas dan Ketua Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng.
Pengasas dan Ketua Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng.

SPEEDHOME sasar senarai rumah sewa cecah 40,000

PETALING JAYA: Platform carian rumah sewa, SPEEDHOME (dahulunya dikenali sebagai Speedrent) menyasar untuk meningkatkan senarai rumah sewa sehingga 40,000 hingga 50,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Pada masa ini, syarikat berkenaan mempunyai sekitar 20,000 senarai rumah sewa dengan lebih 300,000 muat turun aplikasi mudah alihnya.

Pengasas dan Ketua Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng, berkata tahun ini pihaknya mahu berkembang dengan lebih agresif dan antara langkah yang telah diambil adalah dengan menjenamakan semula perkhidmatannya.

“Selain menjalankan perniagaan teras kami iaitu sewaan hartanah, kami juga mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan perkhidmatan Jual dan Beli rumah dengan tiada sebarang komisyen dikenakan.

“Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan pembeli rumah di negara ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran jenama baharu berkenaan di sini, hari ini.

Pelancaran nama baharu itu dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon.

Sehingga kini, SPEEDHOME telah meraih dana berjumlah RM6 juta menerusi pelabur, pengguna dan pihak berkepentingan lain.Mengulas lanjut,

Whei Meng berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk membangunkan pasukan dan perniagaannya di samping melaksanakan pelan pengembangan di masa hadapan.

“Berdasarkan kajian, kutipan sewa menjadi satu daripada masalah besar yang dihadapi pemilik rumah.

“Bagi menyelesaikan isu berkenaan, kami menggunakan sistem automasi bagi mengingatkan penyewa untuk membayar sewa pada masa yang tepat.

“Setakat ini, ia sangat berkesan dan pemilik rumah yang berdaftar dengan kami amat menyukai sistem yang digunakan.

“Di masa hadapan, kami berharap dapat meluaskan sistem yang sama kepada masyarakat umum,” katanya.

Berita Harian X