Khamis, 13 Jun 2019 | 8:20am
- Ihsan laman web MSM
- Ihsan laman web MSM

Pengeluar gula bertapis dijangka tahan stok hingga tiga bulan

KUALA LUMPUR: Pihak pengeluar gula bertapis tempatan, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan meluluskan permit import (AP) gula untuk lapan pengeluar makanan dan minuman (F&B) di Sarawak dan sebaliknya perlu membabitkan industri bagi mencapai penyelesaian jangka panjang.

Dalam satu kenyataan, MSM turut menyifatkan keputusan itu dibuat tanpa memahami sepenuhnya latar belakang dan tanggung jawab semasa dalam industri gula domestik serta impak jangka pertengahan sehingga jangka panjang terhadap bekalan gula dan jaminan keselamatan makanan di negara ini.

“Langkah jangka pendek dan bersifat populis yang membenarkan import gula itu akan hanya memaksa industri bertindak mengurangkan kos untuk terus bertahan. Ini termasuk mengurangkan perlindungan jaminan stok untuk negara dan menyebabkan pengeluar yang kerugian menutup operasi dalam usaha mengurangkan kos dan kapasiti.

“Ini sudah pasti memberi impak negatif terhadap negara dalam jangka pertengahan hingga jangka panjang, terutamanya selepas harga gula global meningkat. Semua ini adalah risiko yang tidak boleh diambil oleh negara," kata syarikat itu.

MSM turut menyifatkan harga runcit gula bertapis RM2.85 sekilogram di Malaysia sebagai antara yang termurah di dunia dan jauh lebih murah daripada gula mentah di negara negara-negara pengeluar seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Ia juga lebih rendah berbanding negara dengan pendapatan per kapita lebih kecil seperti Kemboja, Vietnam antaranya.

MSM berkata, pihak pengeluar gula bertapis juga telah menyerap perbezaan harga antara pasaran dunia dan harga siling tempatan, termasuk faktor pertukaran asing sejak bertahun-tahun lamanya dan menjadi punca utama kerugian dialami kilang-kilang tertentu dan bukannya akibat ketidakcekapan seperti yang dibangkitkan baru-baru ini.

“Gula adalah komoditi strategik di kebanyakan negara di peringkat global dan berperanan sebagai bahan kritikal bagi kebanyakan pengilang. Pihak pengeluar gula tempatan telah melihat kesan kekurangan gula yang boleh menjejaskan ekonomi dan bagaimana kerajaan di serata dunia akan bertindak bagi memastikan bekalan itu mencukupi," katanya.

Atas alasan itu, kata MSM kalangan pengeluar gula bertapis di Malaysia akan menahan stok dua hingga tiga bulan bernilai antara RM180 juta dan RM210 juta bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran yang membabitkan kos antara RM7 juta dan RM20 juta setahun dan telah menjadi sebahagian kos yang ditanggung oleh pihak itu. - BERNAMA

Berita Harian X