Khamis, 13 Jun 2019 | 3:37pm
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said. NSTP/Supian Ahmad.

SME Corp perkukuh jangkauan digital PKS

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan terus memperhebat usaha mengembangkan jangkauan digital kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said, berkata ketika ini hanya sekitar 20 hingga 30 peratus PKS beralih ke arah pendigitalan dan jumlah itu masih jauh ketinggalan berbanding negara maju yang lain.

Beliau berkata, PKS perlu meneroka dan beralih ke arah pendigitalan bagi menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang berpotensi memberi banyak manfaat kepada perkembangan sektor berkenaan.

“Ketika ini hampir kesemua PKS sudah berada dalam peringkat mobilisasi dan terperangkap dalam peringkat itu. Mereka perlu beralih selangkah lagi ke arah digitalisasi seperti automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan internet untuk segala-galanya (IoT).

“Ramai yang menyatakan untuk beralih ke arah itu, ia memerlukan banyak modal baharu dan ianya tidak mudah. Namun sebenarnya banyak dana yang diperuntukkan kepada PKS, cuma ramai yang masih kurang faham dan sedar mengenai perkara ini.

“SME Corp sentiasa komited dalam membantu PKS mendapatkan dana bagi membolehkan mereka bergerak ke arah digitalisasi,” katanya selepas pelancaran program Jom Transform oleh United Overseas Bank Malaysia Bhd (UOB Malaysia) di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, peralihan PKS ke arah pendigitalan juga membantu meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor itu kepada negara.

Ini kerana katanya, produktiviti serta penguasaan pasaran akan meningkat dan membolehkan mereka menembusi pasaran eksport, sekaligus meningkatkan pendapatan sektor itu kepada KDNK negara.

Sementara itu, program Jom Transform anjuran UOB Malaysia itu menyasarkan penyertaan PKS dalam perbagai cabang perniagaan untuk membantu mereka memanfaatkan teknologi dalam memacu produktiviti dan pertumbuhan.

Sebanyak 15 syarikat PKS akan dipilih bagi menyertai program selama tiga bulan dan meraka akan dipadankan dengan rakan kerjasama terdiri daripada syarikat teknologi bagi merintis penyelesaian relevan dalam perniagaan.

Berita Harian X