Sabtu, 15 Jun 2019 | 4:31pm
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. - NSTP/Rasul Azli Samad
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. - NSTP/Rasul Azli Samad

Amanah Finance House tawar pinjaman mikro kredit

MELAKA: Kerajaan negeri melalui Amanah Finance House akan menawarkan pinjaman kewangan kepada perniagaan kecil dengan saiz pinjaman bermula daripada RM3,000 hingga RM50,000 awal tahun depan, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Beliau berkata, pinjaman itu bagi membantu dan meringankan beban golongan usahawan kecil terutamanya yang baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Katanya, langkah itu selaras inisiatif kerajaan negeri untuk mempelbagaikan pinjaman kewangan untuk rakyat negeri itu dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Mikro kredit akan diperkenalkan untuk golongan usahawan kecil selain pinjaman perumahan yang ditawarkan sebagai permulaan dan model pinjaman ini masih lagi dalam kajian.

"Kita perlu melihat daripada pelbagai aspek khususnya peratus faedah yang bersesuaian dengan pinjaman yang ditawarkan," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Rakyat di sini, semalam.

Pada program itu, sebanyak 36 aduan rakyat diterima membabitkan pelbagai isu antaranya tanah, pinjaman perniagaan dan pendidikan.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan pinjaman pendidikan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka bagi pemohon yang bukan lahir di Melaka tetapi ibu dan bapa mereka adalah anak kelahiran negeri itu.

Katanya, pertimbangan itu perlu dibuat berikutan terdapat ibu bapa pemohon adalah anak kelahiran Melaka yang berpendapatan sederhana. - BERNAMA

Berita Harian X